Aminuddin Yahaya.

KUALA LUMPUR – Kegagalan bumiputera dalam ekonomi bukan disebabkan Melayu tidak pandai atau malas tetapi, kerajaan sendiri tidak memberikan sokongan.

Bekas Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya mendakwa, jika dahulu British yang menjadikan bangsa lain sebagai anak emas, kini orang Melayu sendiri yang mengulanginya semula.

Katanya, ia satu realiti yang pahit untuk ditelan tetapi, kebenaran berlaku di hadapan mata kecuali ada tindakan intervensi yang dilakukan oleh kerajaan, maka sampai bila peniaga bumiputera terus terpinggir dan dipinggirkan.

“Adalah tidak logik dari 60 syarikat bumiputera dalam bidang yang dikehendaki satu pun tidak dipanggil.

“Habis macam mana nak tahu mereka layak atau pun tidak. Sampai bila ekonomi bumiputera boleh bersaing dengan bangsa lain?” katanya menerusi hantaran di Facebook sebagai mengulas kenyataan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) kelmarin.

Aminuddin pada hantaran itu turut menyertakan kenyataan media DPMM yang menyatakan kekesalannya terhadap Petronas apabila melantik syarikat bukan Bumiputera bagi pemasangan sistem solar di 300 stesen minyaknya.

Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon yang mempersoalkan perkara itu mendakwa, lebih mengecewakan apabila Petronas hanya memanggil tiga syarikat untuk membuat tawaran tersebut tanpa mengundang mana-mana syarikat Bumiputera untuk turut serta.

Katanya, umum mengetahui bahawa 30 peratus daripada senarai syarikat bertaraf EPC (kejuruteraan, perolehan dan pembinaan) di negara ini adalah milik Bumiputera dan jika termasuk dengan senarai yang berada di SEDA (Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari) jumlahnya kira kira sebanyak 60 syarikat Bumiputera.

Katanya, kos yang ditetapkan bagi setiap stesen minyak untuk memasang solar itu pula adalah kira-kira RM1 juta dan menjadikan nilai keseluruhan projek berkenaan sebanyak RM300 juta.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, kenyataan DPMM itu harus dipandang serius oleh kerajaan terutamanya Perdana Menteri sendiri yang menjadi pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera.

“Jika benar apa yang dinyatakan ini, bermakna semua yang dibincangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) hanya sebagai mainan politik,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast