KLANG – Kira-kira 7,339 barang kes bernilai lebih RM700,000 dilupuskan polis melibatkan kes perjudian, kontraban, bitcoin, dan barang am hasil rampasan pasukan keselamatan itu sepanjang 2023.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, rampasan itu hasil daripada 296 serbuan melibatkan aktiviti perjudian.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menangkap seramai 362 individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya, di sini, hari ini

Majlis Pelupusan Barang Kes Kontraban, Bitcoin dan Perjudian di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Klang, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelupusan Barang Kes Kontraban, Bitcoin dan Perjudian, di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Klang Selatan.

Turut hadir Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Zulkarnain Hassan.

Antara yang dilupuskan ialah barang kes perjudian sebanyak 2,026 unit, barang kes kontraban (4,443), barang kes bitcoin (837) dan barang kes am melibatkan 154 kertas siasatan.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, sebanyak lapan serbuan telah dibuat dan berjaya menangkap seramai 13 individu.

“Manakala kesalahan perlombongan mata wang kripto bitcoin pula, sebanyak enam serbuan telah dibuat.

“Kesemua serbuan ini mempunyai rampasan barang kes berbentuk peralatan eletronik yang digunakan untuk perjudian, rokok, arak dan mesin bitcoin,” katanya.

Selain itu, semua pesalah yang terlibat telah dikenakan pertuduhan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

“Ini selaras dengan pertuduhan yang dibuat, dan mengikut arahan yang diberikan oleh Majistret serta Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Katanya, arahan juga telah dikeluarkan untuk melupuskan semua barang kes yang berkaitan dengan kes tersebut.

“Proses pelupusan barang kes ini akan dilakukan oleh syarikat Pendamaran Jaya Motor yang mempunyai lesen dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pelupusan ini selari dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast