JOHOR BAHRU- Polis Johor sedang menjalankan siasatan terhadap polis trafik yang dipercayai melakukan pemerasan berdasarkan dua video tular di laman Facebook “Sage” dan “Irine Teo” semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, melalui hantaran yang tular itu, penama “Irine Tan” telah diarahkan membayar wang sejumlah S$142 kepada kedua-dua anggota polis trafik yang ketika itu bertugas di Bangunan Sultan Iskandar.
“Kita difahamkan pemberian itu bagi mengelakkan tindakan saman diambil atas kesalahan masuk laluan di kawasan chek point 8A arah Johor Bahru ke Singapura.
“Kejadian difahamkan berlaku pada 10 Mac (Rabu) sekitar jam 8.15 minit malam,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun setakat hari ini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu pemerasan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kumar berkata, pihaknya telah membuat permohonan rasmi di pejabat Konsulat Singapura di Johor Bahru untuk mengesan pemilik facebook “Sage” dan penama “Irine Teo” bagi membantu siasatan.
Jelasnya, Polis Johor komited memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawai dan anggotanya demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan berkenaan.
“Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan mengikut undang-undang di bawah perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.-MalaysiaGazette