Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri

NILAI – Umat Islam sepatutnya memperbanyakan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan bukan  gemar membuat ulasan tentang kisah sensasi rumah tangga orang lain.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini kerana apa yang diungkapkan media sosial merupakan cerminan kepada sikap sebenarnya seseorang muslim itu.

Menurut beliau, cukup yang apa kisah muncul di media sosial itu dibaca sekali lalu bukan menjadi lebih sudu daripada kuah.

Jika kisah itu benar berlaku biar ia menjadi pengajaran kepada orang lain.

“Apabila perkara itu disensasikan, saya tidaklah hendak bela mana-mana pihak kecuali setiap yang berlaku ini memberi pengajaran bagi kita seolah-olah itu ia cerminan.

“Sebenarnya manusia ini kita kenal baik atau tidak baik berdasarkan apa yang diluahkan dan apa yang diungkapkan. Kalau dia banyak cakap sesuatu perkara maka itulah nilai dia. Cerdik pandai kata aku dengar kamu cakap aku boleh hukum kamu siapa.

“Sepatutnya bulan Ramadan, kita kena banyak baca al-Quran. Jadikan Ramadan kali ini bulan yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan al-Quran.

“Jadi isu-isu kalau tengok sekali lalu cukuplah, tak perlu ulas tak perlu bernetizen, tak perlu perbincangan besar,” katanya.

Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri beramah mesra bersama anak-anak yatim Baitul Barokah pada Majlis Berbuka Puasa sempena Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai di Restoran Gastrohub, Nilai. Foto SYADILA AMARI, 15 MAC 2024.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai bersama 80 anak-anak yatim di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan ditanya mengenai kemunculan awal Ramadan ini yang dicemari dengan kisah sepasang artis berdepan isu sensasi dan menjadi tumpuan netizen di media sosial.

Mengulas lanjut, Zulkifli menambah, apa kisah sensasi yang berlaku hari ini sepatutnya diserah kepada pihak yang berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

“Hari ini kita ada orang yang ditugaskan seperti JAWI, JAIS atau jabatan agama Islam negeri yang lebih tahu. Saya bimbang kita lebih sudu daripada kuahnya.

“Benda tidak apa-apa dan saya tidak bela apa-apa tapi bagi saya bila kita nampak itu biarlah kita dapat maklumat sebenarnya. Nanti timbul, timbul dan kita terperangkap dengan isu sedangkan sepatutnya kita guna untuk abdi kepada Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast