majlis menandatangani Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Dr Cute International dan Cell Tissue Technology di sini baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat produk kecantikan kulit tempatan, Dr Cute International akan melabur sebanyak RM30 juta bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang kejuruteraan sel stem tisu dalam usaha memartabat industri kosmetik di negara ini.

Pengasasnya, Dr Abdullah Alias berkata, R&D itu akan melibatkan kerjasama selama tiga tahun dengan Cell Tissue Technology iaitu firma kejuruteraan tisu pertama yang ditubuhkan pada tahun di Malaysia oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut beliau, syarikat mahu muncul sebagai pelopor industri teknologi perubatan maju di Malaysia dengan tujuan untuk mengembangkan, meningkatkan dan memperkasakan kejuruteraan dan perubatan regeneratif.

“Sebelum ini apabila disebut produk kecantikan tempatan, ia sinonim tidak dan mengandungi merkuri.

“Namun segelintir masyarakat kini mula sedar tentang bahaya produk merkuri dan beralih ke produk kecantikan secara selamat dan selari dengan kesedaran itu, Dr Cute sentiasa berinovasi untuk menghasilkan produk penjagaan kulit yang premium dan mampu dimiliki oleh setiap orang.

“Pada masa sama, kita perlu sedar industri kosmetik negara ini masih jauh ketinggalan dengan negara lain dan diharap dengan kerjasama kami dapat menerajui bidang kecantikan dan kesihatan ini agar kualit bukan sahaja setaraf dengan produk antarabangsa malah jauh ke depan pada masa akan datang,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Cell Tissue Technology Dr Khairul Idzwan Baharin.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga bekas doktor perubatan am berkata, pihaknya komited untuk membantu meningkatkan lagi kualiti produk tempatan sekaligus membantu memberi kesedaran kepada ramai rakyat negara ini mengenai produk bebas merkuri

Jelas beliau, ini kerana selepas ini, produk yang dihasilkan oleh Dr Cute International adalah berdasarkan R&D dalam usaha membangunkan produk lebih selamat menerusi percubaan klinikal yang ketat.

“Saya perlu akui dan sedar masih ada masyarakat yang memandang rendah produk tempatan apatah lagi dengan kemunculan pesat produk kecantikan kerana ramai yang ingin menjadi pengasas produk dengan jalan pintas.

“Justeru pengalaman 15 tahun sebagai doktor sebelum ini, menjadi tanggungjawab saya dan Khairul Idzwan untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat agar tidak mengagungkan produk antarabangsa kerana jenama produk tempatan kini mampu setanding dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Khairul Idzwan berkata, kerjasama antara dua pihak itu dijangka akan membuka pintu kepada lebih banyak penemuan baharu yang akan membawa industri kecantikan ke tahap yang lebih tinggi.

Pada masa sama katanya, ia juga dapat memberikan pengguna akses kepada produk-produk terkini yang berkesan dan selamat untuk kecantikan dan kesihatan kulit mereka.

“Kami berharap menerusi kolaborasi penyelidikan strategik ini dapat mengkaji dan menghasilkan penemuaan terbaru mengenai kesihatan kulit sekaligus membantu pengguna menjaga dan mengekalkan kesihatan kulit dengan lebih berkesan.

“Sasaran kami agar pembangunan kejuruteraan sel stem tisu ini memberi manfaatnya dapat disebarkan ke pasaran lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette