Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Parlimen PKR (Pasir Gudang) Hassan Abdul Karim kononnya parti yang dianggotainya bukan ‘tong sampah’ dipertikai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Hasan tidak perlu cakap besar dengan menyatakan PKR bukan parti tong sampah.

Paud mendakwa, PKR mempunyai rekod ‘matlamat menghalalkan cara dan parti mencari kuasa’.

Ini kerana parti itu pernah menerima kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan parti itu juga tercalit dengan isu rasuah melalui bekas Naib Presidennya, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

“Apabila PKR Terima Tun M jadi perdana menteri ketujuh adakah PKR tong sampah? Bila Tun M letak jawatan perdana menteri ketujuh, PKR pujuk Tun M tarik balik hasrat itu.

“Hasan lupa peribahasa seekor lembu bawa lumpur semua terpalit. Jangan lupa kes rasuah Dr Xavier Jayakumar. Dulu Naib Presiden PKR

“Hassan perlu perincikan apa asas untuk mendakwa PKR adalah parti suci bersih. Rakyat lebih layak buat penilaian. Bukan dia dan Rafizi,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut mempersoalkan sama ada Hassan akan membantah sekiranya bekas Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamza Zainudin memohon untuk menyertai PKR.

Hassan sebelum ini berkata, bekas pemimpin besar parti lain yang mahu menyertai PKR perlu disemak dan ditapis terlebih dahulu kerana PKR bukan parti tong sampah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, mereka yang ada rekod jenayah, bankrap dan rasuah seeloknya tidak diterima dalam PKR.

“Adalah wajar serta munasabah serta bertanggungjawab untuk semak ke atas pemimpin-pemimpin besar parti lain yang ingin menyertai PKR. PKR perlu kekalkan imejnya yang bersih sebagai sebuah parti yang ingin membawa perubahan baik atau ‘reform’.

“Elemen-elemen bersifat parasit, dedalu, oportunis atau penyangak dan penyakau serta korup perlu ditolak awal-awal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjangkakan lebih ramai bekas pemimpin berstatus profil tinggi daripada Perikatan Nasional (PN) akan meninggalkan parti masing-masing dan menyertai PKR dalam masa terdekat.

Dakwa Saifuddin, pihaknya ada menerima permohonan daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang mempunyai nama besar dalam arena politik negara dan berminat untuk menyertai PKR. – MalaysiaGazette