KOTA BHARU – Lapan warga asing termasuk empat wanita ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menerusi Ops Sapu/Belanja yang dijalankan di sekitar daerah ini.
Pengarah JIM Kelantan, Mohd Faizal Shamsudin berkata, kesemua yang ditahan berusia 30 hingga 50 tahun terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki warga Thailand, masing-masing seorang lelaki warga Hong Kong dan Indonesia.
“Operasi yang dijalankan selama dua hari bermula 10 malam Rabu lepas adalah hasil risikan dan pemeriksaan yang dijalankan pihaknya.
“Antara premis terlibat adalah bangunan Majlis Daerah Jalan Pasar, Jalan Che Su, Jalan Post Office Lama serta beberapa rumah di Kg Che Deris dan Kg Pulau Gajah Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.