Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR – Malaysia berikrar untuk mempertingkatkan kerjasama memerangi masalah dadah yang menjadi isu global berpandukan perjanjian antarabangsa dan serantau serta Pelan Strategik Anti Dadah Malaysia 2021-2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam soal itu, Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama rakan kongsi dengan negara lain serta organisasi antarabangsa untuk menyekat pengeluaran,  pengilangan, penyeludupan dan pengedaran dadah terlarang selain bertukar maklumat, pendapat kepakaran untuk menangani jenayah dadah.

Menurutnya, menangani punca utama isu berkaitan dadah menuntut pendekatan berasaskan bukti, bersepadu dan yang berselaras membabitkan pelbagai pihak secara kolektif

“Bagi tujuan ini, kerajaan Malaysia telah menubuhkan mekanisme peringkat Kabinet khusus untuk memupuk kerjasama dan sinergi dalam kalangan pemegang taruh, membangunkan strategik lebih komprehensif untuk mengurangkan bekalan dan permintaan dadah serta bahan psikotropik.

“Di Malaysia, kebergantungan dan penyalahgunaan dadah menimbulkan cabaran signifikan dengan bilangan individu yang terjejas akibat dadah terus menunjukkan peningkatan.

“Untuk bertindak segera Malaysia sedang memperbaharui pendekatannya dari aspek rawatan dan pemulihan penagih dadah termasuk meminda Akta Kebergantungan Dadah 1983 dengan tertumpu kepada peralihan paradigma berorientasikan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan semasa menghadiri High Level Segment of the 67th Session of the Commission on Narcotic Drugs Vienna di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengulangi komitmen teguh Malaysia memastikan ketersediaan bahan terkawal untuk tujuan perubatan dan saintifik sementara mengelak ia digunakan untuk aktiviti terlarang.

Tambah beliau, dalam mengawal pergerakan dadah dan bahan psikotropik, sejumlah 16,865 kebenaran import and eksport atau permit dikeluarkan dari 2020 sehingga 2023.

Malah penemuan makmal pengesanan bahan narkotik baharu menjadi asas dalam membantu Malaysia mengawal selia bahan terlarang ini di bawah undang-undang termaktub dalam negara.

Menurut Saifuddin lagi, pendekatan proaktif itu dapat menangani cabaran yang mendatang daripada kemunculan ubat baharu serta bahan psikoaktif baharu (NPS) memastikan langkah kawalan yang mantap disediakan untuk mengurangkan percambahan serta potensi bahaya yang menanti.

“Menyedari kerumitan yang wujud antara pengedaran dadah, rasuah dan lain lain bentuk jenayah terancang, Malaysia kekal teguh dalam melaksanakan strategi yang berkesan dan efektif untuk memerangi ancaman dadah ini melalui langkah penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan ketat.

“Ia antaranya termasuklah pelbagai tindakan sitaan dan pembekuan aset, hartanah yang diperoleh melalui aktiviti haram.

“Untuk makluman sejak 2019, Malaysia telah berjaya merampas hartanah bernilai RM990 juta (USD210 juta) membabitkan jenayah berkaitan dadah.

“Tambahan pula, agensi penguatkuasaan undang-undang kami telah berjaya membongkar sejumlah 98 makmal rahsia dadah dan menahan seramai 351 individu yang terlibat dalam aktiviti dadah,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut memainkan peranan proaktif menyokong Polis Diraja Malaysia dalam operasi kawalan sempadan dan memerangi kegiatan pemerdagangan manusia, dadah terlarang, penyeludupan barang kontraban.

Saifuddin memberitahu, melalui kolaborasi RELA dan pihak penguat kuasa undang-undang, Malaysia sebenarnya telah memperkukuhan komitmennya untuk melindungi sempadan dan memerangi jenayah transnasional sekaligus mempertahankan keselamatan dan kestabilan serantau.

“Sementara kita mengemudi usaha kolektif ini, adalah penting untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kekuatan dan segala sumber yang ada untuk menangani cabaran narkotik secara bersama dengan lebih holistik.

“Dengan usaha demikian kita boleh memajukan objektif mempromosi dan menjaga kesihatan, keselamatan awam serta kesejahteraan keseluruhan umat manusia selaras dengan mencapai ke arah pembangunan mampan,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette