KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi termasuk menangani keganasan dan kebencian berdasarkan agama atau kepercayaan masing-masing.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika tindakan bersifat Islamofobia ini tidak dibendung, ia akan menyumbang kepada peningkatan keganasan disamping menormalisasikan kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia.
“Ini cuma akan menghakis usaha memupuk keamanan dan keharmonian di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena Hari Antarabangsa memerangi Islamofobia pada hari ini.
Menurut Mohamad, sambutan Hari Antarabangsa memerangi Islamfobia merupakan satu gesaan untuk menghentikan tindakan kebencian terhadap Islam.
Tambah beliau, Malaysia bimbang dengan pengiktirafan terhadap tindakan-tindakan provokasi, tidak menghormati dan tindakan yang menyinggung perasaan termasuklah insiden pembakaran kitab suci Al-Quran secara berterusan.
“Perkara ini akan terus menyemai sifat kebencian dan keganasan terhadap umat Islam dan golongan agama minoriti yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa
untuk mengenalpasti langkah-langkah kukuh dalam membanteras keadaan dan perlakuan semasa yang memupuk perbuatan-perbuatan keji itu.
Mohamad berkata, Malaysia menyokong penuh seruan bagi pelantikan “Perutusan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk memerangi Islamofobia”.
Katanya, dialog antara budaya dan agama memainkan peranan penting dalam memupuk keamanan, kesederhanaan dan toleransi beragama.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia percaya bahawa nilai kesederhanaan dapat merapatkan perbezaan dan menyelesaikan pertikaian berdasarkan amalan saling hormat-menghormati dan memahami, toleransi,
dialog, bertolak ansur, keharmonian, keterangkuman dan keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette