Sumber: Facebook Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah menegur Ketua Wanita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang didakwa mengambil tulisannya.

Tulisan yang ditulis oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad itu kemudian diletakkan nama dan gambar Ketua Wanita Putra dan dimuat naik di Facebook parti tersebut.

Menurut Dr Anuar, ia merupakan kali kedua Ketua Wanita Putra ‘mencuri’ tulisannya.

“Kali pertama dahulu saya diamkan sahaja kerana tak mahu malukan beliau.

“Kali kedua, nampaknya beliau perlukan sedikit pengajaran supaya menjadi pemimpin yang jujur,” tulis pensyarah itu di hantaran Facebooknya semalam.

Beliau turut berkongsi tulisannya yang ‘ditepek’ di Facebook parti tersebut.

Pada tulisan itu diletakkan ‘Kenyataan Media Wiranita Putra Malaysia’.

Tulisan itu berkaitan isu debat kantin sekolah bulan puasa.

Artikel yang dikongsikan oleh Ketua Wanita Putra itu sama seperti yang ditulis oleh Dr Anuar.

Bagaimanapun Dr Anuar berkata, apabila tahu perbuatan salah itu terbongkar, beliau telah ‘delete’ posting tersebut di page rasmi parti.

“Kalau perkara sekecil ini pun sudah tiada integriti, bolehkah anak pak maon ini diharapkan untuk menjaga negara? Minta dijauhkan…

“Harap barisan pemimpin parti yang kata mereka mahu perjuangkan Melayu Islam ini tegur sifat buruk pemimpin sayap wanita mereka,” tegas Dr Anuar.

Bagaimanapun, pemilik akaun bernama LyLa LyLa tampil memohon maaf di atas kesilapan yang berlaku.

“Terima kasih di atas semua komen..Di sini sya ingin meminta maaf di atas kesilapan yg terjadi. Kredit kpd Tn Anuar di atas semua ayat dan tahniah di atas semua tajuk yang di bawa oleh beliau.

“Punca utama 2 kejadian yang berlaku adalah disebabkan saya meminta office mate saya utk draftkan artikel utk dibawa sebagai kenyataan dan saya sesungguhnya mmg tidak tahu yg mereka ambil isi kenyataan Tn Anuar sebagai kenyataan utk saya.. Sya bagi cadangan tajuk kpd mereka utk saya bawa sebagai kenyataan tetapi rupanya sahabat sya ambil kenyataan tersebut dan beri pada sya.

“Sya fikir semua ayat tersebut adalah hasil buah fikiran mereka. Mmg khilaf saya sbb tidak terfikir yg mereka (office mate) saya akn ikut semua. Sesungguhnya sya mmg tidak tahu itu adalah kenyataan Tn Anuar. Sama jga rupanya terjadi pd kenyataan sebelum ini..

“Semalam byk kali sya cuba hubungi Tn Anuar tetapi tidak dpt bercakap secara terus dgn beliau. Dan smlm juga saya ada pm tetapi beliau masih tiada respon. Saya mengaku kesilapan sya dan tidak terfikir kejadian sebegini akan terjadi .

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf Anuar Ahmad dan akan pastikan kejadian ini tidak akan berulang,” ujarnya. – MalaysiaGazette