SUNGAI BULOH – Polis mengajak masyarakat di Selangor untuk beramai-ramai menyertai ‘Hari Bertemu Pelanggan Polis Kontinjen Selangor yang akan diadakan pada 23 Mac ini.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, program sehari itu diadakan julung-julung kali dengan tema ‘ Polis Sedia Mendengar’.
“Program julung kali diadakan bersempena Hari Polis ke217 yang akan disambut pada 25 Mac ini dan Hari Bertemu Pelanggan ini dibuat secara serentak di semua 16 Ibu Pejabat Polis Daerah Negeri Selangor.
“Orang ramai bagaimanapun diminta menghantar email terlebih dahulu dengan melampirkan isu atau perkara berbangkit sebelum hadir ke program terbabit yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
“Kita juga membenarkan orang ramai walk in ke program ini namun keutamaan diberikan kepada mereka yang mendapat temu janji dengan menghantar soalan menerusi e-mel lebih awal,” katanya.
Antara perkara yang boleh dibawa kepada perhatian polis adalah isu keselamatan setempat, status siasatan kes, perkhidmatan PDRM dan isu kesejahteraan komuniti di kawasan perumahan mereka.
Tambah beliau, orang ramai boleh berjumpa dengan duduk secara bersemuka dan perseorangan bersama ketua polis setiap daerah dan mengemukakan [permasalahan mereka.
“Saya nak mereka jumpa ketua polis daerah dulu dan pada pagi program itu saya akan meninjau di setiap IPD,jika masih tidak berpuas hati dan permasalahan tidak mampu diselesaikan maka mereka bolehlah kemudian datang bertemu dengan saya dan ketua-ketua jabatan di IPK Selangor pada hari tersebut.
“Kalau sesi town Hall semua didengar, kalau one to one senang dan mungkin dia ada perkara atau isu sensitif yang ingin disampaikan secara peribadi, maka inilah peluang untuk mereka berjumpa dengan setiap sesi antara15 hingga 30 minit,” katanya.
Hussein menambah, sekiranya sambutan menggalakkan program ini akan dipertimbangkan untuk diadakan sebulan sekali.
Menurut beliau, objektif utama program ini mahu mengurangkan jurang persahabatan antara masyarakat dan polis, selain memastikan ketenteraman dan kesejahteraan komuniti di negeri ini terjamin,” katanya lagi.- MalaysiaGazette