Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri bercakap pada media ketika Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim sempena Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai di Restoran Gastrohub, Nilai. Foto SYADILA AMARI, 15 MAC 2024.

NILAI – Golongan isteri yang berdepan isu rumah tangga apabila suami mereka ditangkap khalwat perlu banyak bersabar dan kekal bertenang sebelum membuat sebarang keputusan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan,  Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia kerana keputusan yang dibuat ketika sedang marah kebiasaannya kurang tepat.

Sebaliknya beliau menasihati golongan yang ditimpa ujian agar bersolat dan selepas keadaan menjadi sejuk sebelum berdamping dengan mereka yang berfahaman baik dan matang untuk meminta pandangan.

“Dalam isu yang pertama sekali sebagai orang isteri, beliau bersabar. Yang kedua, tenang sebab hukum buat keputusan ketika marah maka kurang tepat biasanya.

“Jadi untuk elak ini tenang dulu, bila hati sudah sejuk buat solat kepada tuhan, timbang tara untuk anak dan suami serta ambillah keputusan selepas ditanya orang-orang yang berpengalaman, berfahaman baik dan matang untuk boleh keputusan yang baik.

“Sebab yang pertama manusia tiada yang maksum, semua kita banyak salah silap, besar kecil depan belakang orang dan sebaik-baik bertaubat kepada Allah.

“Kita tidak perlu pertahan apa-apa, terangkan apa tetapi kembali kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette pada Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai bersama 80 anak-anak yatim di sini malam ini.

Bekas Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri beramah mesra bersama anak-anak yatim Baitul Barokah pada Majlis Berbuka Puasa sempena Program Sinar Ramadan Gastrohub Nilai di Restoran Gastrohub, Nilai. Foto SYADILA AMARI, 15 MAC 2024.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ditanya apa hukum isteri meminta cerai sekiranya suami mereka telah ditangkap berkhalwat.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pada pandangannya yang pertama apa yang berlaku dalam krisis rumah tangga itu perlu diperhalusi  daripada segi hakikat apa yang sebenarnya berlaku.

Menurut beliau, yang kedua, bagi dirinya perkara yang berlaku itu mengajar kita untuk bermunasabah.

“Boleh jadi kesilapan-kesilapan lalu itu apabila dibaiki lebih baik jauh daripada apa dengan syarat taubat sebenar kalau betul apa yang berlaku dan ubah, terangkan hakikat sebenar.

“Apa yang tidak baik itu dapat dijernihkan tapi jangan orang yang tidak tahu hendak ulas itu ini dan lebih kepada andaian dan sangkaan.

“Semua ini bahasa Arab kata tahmi, benda ada bukti yang kukuh. Yang ini kena bermunasabah,” katanya. – MalaysiaGazette