PUTRAJAYA – Amalan makan kurma bersama butter atau mentega tidak memberikan sebarang implikasi kesihatan selagi ia diambil secara sederhana.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, prinsip asas pemakanan yang sihat adalah memastikan keseimbangan dalam bahan yang diambil.
“Pada saya halnya makanan itu, prinsip pertama apa pun mesti dalam kesederhanaan dan mesti ada keseimbangan. Kurma betul, butter pun bagus.
“Tapi apa pun mesti dalam keseimbangan. Itu prinsip utama dalam pemakanan.
“Jadi tidak ada masalah kurma butter, kreativiti dan inovasi, persiapan makanan. Cumanya kita ambil dalam keseimbangan,” kata beliau dalam sidang media hari ini.
Dr. Dzulkefly ditanya mengenai trend semasa rakyat Malaysia yang memakan kurma bersama mentega ketika ini yang didakwa sebagai sunnah Nabi Muhammad SAW.
Makanan tersebut menjadi tular susulan perkongsian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi media sosial Maktabah Al-Bakri.
Beliau berkata, tamar atau kurma kering dengan mentega merupakan makanan kegemaran Rasullullah SAW.
Bagaimanapun ada pihak mendakwa, hidangan tular itu dikhuatiri membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan kepada tubuh badan.
Sementara itu, menyentuh mengenai isu kurma yang ditanam di Israel dan lolos di negara ini, Dr. Dzulkefly berkata, ia memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan insiden itu tidak berulang.
Kementerian Kesihatan hanya bertanggungjawab dari segi kualiti dan keselamatan makanan.
Dr. Dzulkefly sebelum itu menyempurnakan Pelancaran Kick-Off Ops Kebersihan Dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Presint 3 di sini hari ini.- MalaysiaGazette