Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bersama Naib Presiden dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani (kanan) melakukan gimik Program Pengumpulan Minyak Masak Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Petronas Dagangan Berhad menyasarkan untuk mengumpul 300,000 kilogram minyak masak terpakai (UCO) tahun ini.

Menteri KPK Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sejak program itu dilancarkan Julai tahun lalu hingga Februari lepas sejumlah 205,000 kilogram UCO berjaya dikutip melalui penyertaan lebih 11,000 orang awam.

Johari berkata, program tersebut turut meningkatkan pendapatan masyarakat dengan RM600,000 telah dibayar kepada mereka yang menjual UCO.

Berikutan kejayaan itu, Petronas menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pusat pengumpulan daripada 35 stesen ketika ini kepada 50 yang dijangka akan meningkatkan penyertaan kepada 15,000 orang awam.

Jelasnya, ketika ini harga pembelian semula UCO yang ditawarkan oleh pihak Petronas adalah RM3 sekilogram manakala RM2.50 sekilogram bagi kawasan di Semenanjung Pantai Barat, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Minyak masak terpakai dari peniaga bazar ramadan ditimbang pada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas PETRONAS yang beroperasi setiap sabtu dari 5 petang hingga 7 malam di Bazar Ramadan Desan Pandan, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 MAC 2024.

“Program pengumpulan minyak masak terpakai ini merupakan langkah proaktif pihak Petronas secara khususnya, dan negara secara amnya sebagai persediaan untuk mengkomersialkan bio bahan api penerbangan yang lestari atau sustainable aviation fuel (SAF).

“Bagi memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon di sektor penerbangan antarabangsa menjelang tahun 2050,” katanya ketika melancarkan program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Sempena Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Desa Pandan hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad Azrul Osman Rani.

Katanya, orang ramai hanya perlu mengumpulkan UCO dalam tong minyak masak terpakai dan bawa ke pusat pengumpulan terlibat.

Sementara itu Azrul berkata, sekiranya program pengumpulan UCO mendapat sambutan pihaknya mungkin akan membuka logi biodesel di Pengerang, Johor yang kini masih lagi dalam peringkat kajian.

“Salah satu kegunaan UCO ini adalah boleh dijadikan bahan mentah untuk logi bio yang sekarang ini sedang dikaji oleh Petronas. Insya-Allah kalau permintaan (penjualan) bagus kita dapat membina logi bio di Pengerang, Johor,” katanya dalam ucapan.

Katanya, ketika ini setiap pusat pengumpulan berjaya mengutip 500 kilogram UCO dan disasarkan meningkat kepada 1 tan di setiap stesen.- MalasyiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast