Aksi Lee Zii Jia ketika menentang pemain India, Lakshya Sen oada kejohanan All England.

KUALA LUMPUR – Prestasi dipamerkan pemain perseorangan professional negara, Lee Zii Jia tampak semakin meningkat biarpun perjalanannya terhenti di peringkat suku akhir Kejohanan All England 2024 di Birmingham, pada Jumaat.

Bekas pemain kebangsaan Datuk James Selvaraj berkata kekalahan dialami Zii Jia di tangan wakil India Lakshya Sen boleh dielakkan seandainya pemain berusia 25 tahun itu bijak memanfaatkan kekuatan smesy dimiliknya untuk ‘mematikan’ lawannya di Utilita Arena Birmingham.

Walaupun mendahului pada set pertama, 22-20, namun pemain di ranking ke-10 dunia itu gagal mengekalkan rentak kemenangan sekali gus tumpas pada dua set berikutnya kepada Lakshya, 16-21, 19-21.

“Saya tengok Lakshya main simple saja, smesy pun tak kuat namun Zii Jia dengan ketinggian dan smesy yang mungkin paling kuat dalam kalangan pemain di All England 2024 tidak guna kelebihannya semalam.

“Mengapa Zii Jia tidak guna (smesy), pemain pasti takut pukulan smesy dia. Ini satu keputusan yang amat merugikan, bagaimana dia tewas pun saya tidak tahu kerana saya ingat dia boleh mara ke final dan jadi juara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

James, yang bingung dengan penyingkiran Zii Jia, mengakui yakin pemain ranking ke-10 dunia itu akan mendakap gelaran kedua peribadi pada kejohanan badminton tertua dunia selepas edisi 2021, apabila menang bergaya ke atas pemain nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan pembukaan serta bekas juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura di pusingan kedua.

“Jelas sekali dia bermain dengan cukup baik dalam All England 2024 (setakat tahun ini) kerana dia berjaya menewaskan pemain lama seperti Naraoka dan Kean Yew.

“Berdasarkan game lawan Naraoka khususnya, pemain Jepun itu memang gemar main rally namun Zii Jia kerap guna kekuatan smesy untuk hentam lawannya, namun berbeza pula ketika lawan Lakshya,” katanya.

Sepanjang lima penampilan pada kejohanan individu tahun ini, bekas juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 itu telah mara ke suku akhir sebanyak tiga kali termasuk di All England 2024 manakala tersingkir awal di pusingan pertama sebanyak dua kali termasuk di Terbuka Malaysia, Januari lepas.

Justeru bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap agar pemain kelahiran Kedah itu mampu mengekalkan momentum dimiliki sekali gus dapat menggenggam emas pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Zii Jia berpeluang cerah untuk membuat penampilan kedua di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 apabila menghuni kedudukan ke-10 dalam carta ‘Race to Paris’ dengan memungut 66,016 mata.

Sesebuah negara hanya boleh mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan, jika kedua-dua pemain berada pada ranking 16 teratas dalam ranking “Race to Paris” menjelang tempoh kelayakan pada 28 April ini.

Seorang lagi pemain perseorangan negara Ng Tze Yong pula terkeluar daripada carta kedudukan 16 pemain teratas dalam ‘Race to Paris’ apabila terpaksa berehat daripada sebarang kejohanan selepas menjalani pembedahan di bahagian belakang, baru-baru ini.

Sementara itu James menaruh harapan agar beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang mara ke final All England 2024 dengan menumpaskan pasangan Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan, di peringkat separuh akhir hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang turun selaku pilihan kelima, mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menumbangkan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana, 21-14, 21-11.

Jhe-Huei-Po-Hsuan pula mara selepas menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand, 21-13, 21-17.

Keputusan pada Jumaat menyaksikan Aaron-Wooi Yik hanya selangkah mengulangi pencapaian terbaik mereka mara ke final pada edisi 2019 sebelum tewas kepada beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 21-11, 14-21, 12-21. – BERNAMA