Foto Nidzam Jamil. Foto FB Selangor FC.

KUALALUMPUR – Selangor FC (SFC) mengumumkan Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih baharu bagi menggantikan tempat Tan Cheng Hoe mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Pemilihan Nidzam turut disambut baik oleh para penyokong setia Gergasi Merah kerana dia cukup mengenali pemain SFC dan berpengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya telah membuat penilaian secara terperinci dan kolektif serta melihat keupayaan yang telah ditunjukkan oleh Nidzam semasa berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk musim-musim sebelum ini.
“Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta amat mengenali para pemain SFC.
“Bagi kami, beliau adalah insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran SFC bagi musim 2024/2025,” katanya di media sosial kelab itu.

Dilahirkan dan membesar di pekan Kajang, Nidzam Jamil merupakan bekas pemain Selangor pada tahun 2000 hingga 2004.

Selain rekod cemerlangnya sebagai seorang pemain, dia juga telah mencipta rekod yang baik sebagai Ketua Jurulatih sejak dari 2010 bersama SPA FC dan Felda United FC.

Sebelum ini, Nidzam pernah menjadi Penolong Ketua Jurulatih kepada Michael Feichtenbeiner.

Pada tahun yang sama, beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih ‘interim’ untuk beberapa perlawanan dan kembali sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk tahun seterusnya selepas pelantikan Tan Cheng Hoe pada ketika itu.

Dengan pelantikan ini, Nidzam Jamil berpeluang membuktikan keupayaannya di pentas Asia apabila SFC beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL 2) nanti. – MalaysiaGazette