Ahmad Fadhli Shaari.-Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak terus menerus menyalahkan parti itu atas keruntuhan Muafakat Nasional (MN).

Ahmad Fadhli berkata, Ahmad Zahid tidak perlu terus menjadi hero masyakat dalam membahasan isu berkenaan kerana tiada keperluan memandangkan isu berkenaan buat masa ini.

“Ramadan ini kita memperbanyakkan amal ibadat dan kurangkan pertembungan, takut melarat sehingga mengurangkan pahala nanti.

“Apatah lagi sengaja melontarkan isu tidak perlu yang tentunya akan memanjangkan perbahasan antara kedua-dua pihak,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Ahmhad Fadhli merujuk kenyataan Ahmad Zahid dengan menyatakan Pas yang meruntuh dan meninggalkan MN bukan UMNO, dan mengingatkan parti itu supaya tidak bertanam tebu di bibir berhubung isu mahu menghidupkan semula kerjasama itu.

Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, Pas perlu ikhlas jika mahu menghidupkan kembali MN dan parti itu ketika ini mahu terus bersama rakan parti lain dalam Kerajaan Madani.

Ahmad Fadhli menjelaskan, punca sebenar kegagalan MN dengan mengaitkan hubungan sulit UMNO dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak benar.

“Sekadar mengingatkan, perbualan telefon antara ‘cikgu dan murid’ serta ‘gumpalan kertas A4’ yang berlaku sebelum PRU15 ialah sebesar-besar bukti telah berlaku hubungan sulit antara Datuk Seri secara peribadi dengan pimpinan Pakatan Harapan.

“Akhirnya ia terlaksana selepas PRU15. Sudah tentu hujah yang biasa didengar ialah kerana ia titah Yang di-Pertuan Agong agar BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Ya, semata-mata patuh kepada titah sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette