Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Isu penjualan stokin tertera kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh apatah lagi ia memberi kesan mendalam kepada nilai agama dan kepercayaan umat Islam di negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, langkah memboikot KK Mart perlu digerakkan sebagai satu hukuman kepada tindakan tidak sensitif kepada Islam dan tidak boleh diterima dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan tidak sensitif terhadap pegangan agama bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Saya menyeru isu ini diangkat dengan lebih serius dan diberi perhatian sewajarnya.

“Boikot bukan sekadar tindakan individu bahkan satu gerakan kolektif yang mempunyai impak besar dalam menyuarakan ketidakpuasan terhadap tindakan bertentangan dengan nilai-nilai etika dan sensitiviti agama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, media melaporkan KK Supermart mengeluarkan permohonan maaf atas penjualan stokin tertera kalimah ‘Allah’ tular di media sosial.

Kedai serbaneka itu dalam satu kenyataan berkata, ia telah menghentikan penjualan stokin yang dibuat oleh Miranosock.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf.

Dr Muhamad Akmal berkata, Pergerakan Pemuda UMNO akan memulakan boikot lebih kuat terhadap KK Super Mart sekiranya pengurusan kedai serbaneka itu gagal mematuhi tuntutan mereka.

Dalam pada itu, Fariz Hazurin juga mendesak agar dialog secara terbuka dan pendekatan lebih bernas diambil kira dalam menyelesaikan isu ini.

“Berunding secara konstruktif dengan semua pihak terlibat termasuk pengurusan KK Mart penting bagi mencari penyelesaian yang menghormati keperluan semua pihak.

“Dengan mengamalkan prinsip musyawarah, saya yakin isu sensitif seperti ini dapat diselesaikan dengan lebih efektif, sambil memperkukuhkan perpaduan dalam masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette