Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada perjumpaan bulanan bulan Mac 2024 bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 18 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan beberapa pihak termasuk ahli Parlimen yang menimbulkan isu bak kut teh dan pembukaan kantin sekolah semasa bulan Ramadan.

Justeru beliau meminta agar semua golongan ini menghentikan segera polemik politik berkenaan kerana Malaysia lebih memerlukan pertumbuhan ekonomi yang mengukuh.

“Saya bincang masalah pelaburan (di luar negara) tapi balik Malaysia (isu) bak kut teh, isu buka kantin sekolah bulan Ramadan.

“Itu hangat diperkatakan seolah-olah itu isu hidup mati maruah kita, saudara tahu inilah keadaan dia,” katanya dalam ucapan sempena perjumpaan beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Malah Anwar turut berkata; “Guna ruang ini dengan wacana yang lebih sihat dan segar”.

Anwar berkata demikian merujuk isu perdebatan mengenai isu pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara dan pembukaan kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan sejak kebelakangan ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebelum ini berkata, pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan Malaysia tidak ada kena mengena dengan isu bangsa atau agama.

Pada 24 Februari lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahardin memaklumkan 10 makanan diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta 645.

Selain bak kut teh yang juga makanan tradisional masyarakat Cina, makanan lain yang turut tersenarai adalah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.

Isu bak kut teh yang disenaraikan sebagai makanan warisan negara itu mencetuskan polemik khususnya dalam kalangan pemimpin politik di negara ini.

Isu pembukaan kantin sekolah hangat diperkatakan apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu, pengurusan sekolah akan tetap meneruskan operasi kantin masing-masing seperti biasa pada bulan Ramadan.

Selain itu murid-murid khususnya yang bukan beragama Islam akan turut diterapkan dengan nilai-nilai kesedaran supaya lebih faham tentang ibadah puasa bagi orang Islam.

Ia mendapat reaksi Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) yang menegaskan arahan Kementerian Pendidikan supaya kantin-kantin sekolah dibuka ketika bulan Ramadan mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, DUPP berpandangan perkara ini telah menjadi uruf setempat dan kebiasaan rakyat di negara ini untuk menghormati umat Islam yang sedang berpuasa termasuklah dalam kalangan pelajar sekolah yang masih berlatih untuk berpuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast