Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar dan tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor.

Ia adalah antara pindaan baharu dibuat ke atas Seksyen 16B Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menyaksikan pemindahan kuasa bagi pengendalian kes tatatertib membabitkan pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Seksyen 16B AUKU ketika ini memperuntukkan pihak berkuasa tatatertib universiti ialah Naib Canselor.

“Dalam konteks pengendalian kes tatatertib, semakan mendapati amalan sedia ada di semua universiti awam ialah ia tidak dikendalikan oleh Naib Canselor sebaliknya kuasa berkenaan terletak pada Jawatankuasa Tatatertib itu sendiri.

“Untuk itu, Kementerian Pendidikan Tinggi bercadang memindahkan kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar supaya ia mencerminkan amalan semasa di universiti awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan AUKU peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) pindaan AUKU yang dijangka diluluskan di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan beberapa seksyen dalam akta itu dipinda, membabitkan Seksyen 15 dan 16 AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.

Pindaan turut merangkumi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti dibenar memungut wang dan menerima sumbangan dalam apa cara sekalipun termasuk membuka serta mengurus akaun dengan mana-mana institusi kewangan sah.

Selain itu, tempoh penggal bagi MPP yang kini ditetapkan selama satu tahun, dipinda dengan pihak berkuasa universiti atau lembaga boleh melanjutkan tempoh keahlian apabila pilihan raya kampus tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.

Mengulas lanjut, Zambry memberitahu, walaupun Seksyen 15 AUKU dipinda, ia masih tidak membenarkan pelajar atas kapasiti individu untuk terbabit dalam aktiviti pemungutan, penerimaan wang atau apa pun sumbangan melainkan dibuat atas nama atau bagi pihak MPP atau mana-mana pelajar universiti.

Beliau berkata, Seksyen 48(4) Jadual Pertama AUKU dipinda susulan isu berbangkit ketika tempoh pandemik Covid-19 lalu yang mana wujud kumpulan pelajar mempertikai keabsahan MPP yang masih berkhidmat walaupun tamat tempoh penggalnya.

“Hal ini berlaku kerana pilihan raya kampus tidak dapat diadakan ketika itu. Untuk itu, peruntukan Seksyen 48(4) Jadual Pertama sudah dimasukkan bagi tempoh lantikan MPP dipinda dari satu tahun ke satu tahun akademik.

“Untuk makluman, kalendar akademik ditetapkan oleh senat universiti masing-masing. Susulan pengalaman pandemik itu, KPT mencadangkan Seksyen 48(4a) dimasukkan bagi membolehkan pihak berkuasa universiti atau lembaga melanjutkan keahlian MPP apabila pilihan raya kampus tidak dapat dilaksanakan.

“Pindaan ini juga bagi membolehkan lembaga mengurus pelantikan MPP dalam peralihan selepas tamat tempoh pelantikan sehingga pilihan raya kampus diadakan bagi mengelak kelompongan MPP di sepanjang tempoh peralihan berkenaan,” katanya.

Seiring pindaan Seksyen 48(11b) Jadual Pertama AUKU yang membenarkan MPP membuka dan mengurus akaun dengan mana-mana institusi kewangan sah, beliau berkata, Seksyen 48(12a) juga dipinda untuk mewujudkan peraturan baharu yang akan dijadikan panduan kepada MPP dan pemegang jawatan dalam mengurus wang atau akaun.

“Peraturan akan diperkenalkan ini adalah peraturan am yang digunakan dalam urusan kewangan. Sebagai contoh pengeluaran resit rasmi bagi penerimaan wang, sumbangan yang boleh diterima dan lain-lain.

“Peraturan yang diperkenalkan bertujuan mendidik pelajar atau sebagai rujukan kepada mereka dalam menguruskan kewangan MPP dan persatuan masing-masing kelak,” katanya.

Zambry menegaskan, pelaksanaan pindaan itu dibuat secara berperingkat, bermula dengan MPP sebelum diperluas kepada badan dan persatuan pelajar yang lain.

“Kementerian ingin tegaskan, cadangan pemberian kemudahan ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk belajar mengurusaktiviti kewangan persatuan masing-masing.

“Dengan RUU ini, agenda pemerkasaan mahasiswa dapat dijayakan, seterusnya melakar sejarah apabila AUKU sekali lagi dipinda untuk mengangkat martabat mahasiswa dan pelajar di universiti awam,” katanya.

Pada 10 Disember 2018, Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan AUKU membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik. – MalaysiaGazette