Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meminta penduduk di negeri ini mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan berkata, ia susulan penggunaan air di Pulau Pinang direkodkan mencecah 927 juta liter  (JLH) untuk semalam berbanding purata 877 JLH pada tahun lalu.

Jelasnya, PBAPP mengeluarkan sebanyak mungkin air untuk pengguna namun peningkatan penggunaan sebanyak 50 JLH ini menyebabkan masalah bekalan air di beberapa kawasan.

“50 JLH merujuk kepada jumlah air yang cukup untuk mengisi 20 kolam renang saiz Olimpik setiap hari atau 33,333,333 botol besar (1.5L) air minuman setiap hari.

“Kenaikan mendadak dalam penggunaan air terutamanya dalam keadaan situasi kekurangan air seperti di Pulau Pinang, agak kurang bijak dan tidak mampan.

“Ini telah menyebabkan masalah di beberapa kawasan di Daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan seperti yang dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Pathmanathan berkata, paras air di Sungai Muda berada di bawah paras selamat untuk pengabstrakan air di muka sauk Lahar Tiang di Seberang Perai.

Jelasnya, paras Empangan Muda di Kedah yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan menurun kepada 48.6 peratus pada Jumaat lalu.

“Mujurlah, paras Empangan Beris, empangan kedua yang mungkin melepaskan air ke Sungai Muda, dilaporkan 98.6 peratus pada hari yang sama.

“PBAPP terus mengabstrak sebanyak mungkin air mentah dari Sungai Muda setiap hari untuk memenuhi permintaan air Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, operasi pelepasan air dari Empangan Muda dan Empangan Beris ke Sungai Muda ketika musim kemarau terletak di tangan pihak berkuasa Kedah,” katanya.

Tambah beliau, bekalan air Pulau Pinang berada di paras tidak selamat sehingga hujan mengisi semula empangan negeri ini serta dan Empangan Muda di Kedah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast