Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2023.

PUTRAJAYA – Selangor direkodkan akan menghadapi isu keciciran bantuan subsidi bersasar tertinggi sekiranya tidak mengemaskini data masing-masing dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata Rafizi Ramli.

Jelas Menteri Ekonomi itu, ia disebabkan negeri itu merekodkan lokaliti tertinggi yang tidak mendaftar dalam sistem berkenaan setakat ini.

Ia berdasarkan kepada 4,752 kawasan yang dikenal pasti di seluruh negara di mana penduduk di kawasan tersebut tidak mempunyai sebarang pendaftaran di bawah di sistem PADU yang berpotensi untuk tercicir.

“Daripada 4,752 kawasan ini, di mana yang paling tinggi adalah di Lembah Kelang dengan Selangor tertinggi di mana 1,282 kawasan belum diliputi baik daripada data bantuan sedia ada mahu pun PADU,” kata dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (992); Sarawak (765); Sabah (620); Johor (271); Pulau Pinang (243); Kelantan (228); Kedah (157); Pahang (70); Perak (67); Terengganu (35); Negeri Sembilan (8); Perlis (7); Putrajaya (5) dan Melaka (2).

Jelas Rafizi lagi, kerajaan akan memperincikan kaedah-kaedah tertentu membolehkan kerajaan mengenalpasti risiko-risiko keciciran sehingga ke peringkat lokaliti seperti projek perumahan rakyat, kondominium dan pangsapuri.

“Penelitian kemas kini sehingga peringkat lokaliti ini adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan semua kawasan diliputi dan mempunyai perwakilan kerana niat kita adalah untuk mengurangkan keciciran,” kata Rafizi lagi.

Untuk rekod, sehingga semalam, sejumlah 5.43 juta individu telah mengemaskini data mereka dalam PADU. – MalaysiaGazette