Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 walaupun berdepan kekecohan sesi penggulungan  di kalangan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Ini kerana mereka membangkitkan persoalan yang terkandung di dalam RUU itu yang dianggap memberi kuasa berlebihan kepada seorang Perdana Menteri dan sepatutnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilihat beberapa kali meninggikan suara kepada ahli Parlimen pembangkang apabila sering diganggu ketika menggulung RUU itu.

Ahli Parlimen Pengerang itu meminta mereka agar bersabar kerana masing-masing berpuasa pada bulan Ramadan.

“Sabar, kita ini puasa. Yang Berhormat, saya berpuasa, Yang Berhormat berpuasa. Sabarlah,’ katanya penuh penuh emosi.

Bagaimanapun kelulusan RUU itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat selepas dibentang pertama kali pada 29 November tahun lalu.

RUU itu dibahaskan oleh 11 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sejak semalam.

Ia bertujuan mengawal selia kekebalan diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia. – MalaysiaGazette