Faiz Nasir. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC terus rancak memantapkan jentera pasukan selepas mengumumkan kehadiran pemain tengah lincah dari Terengganu, Faiz Nasir.

Menurut kenyataan rasmi KDFA FC, Faiz yang bakal menjengah usia 32 tahun pada Julai ini menyertai kelab tersebut secara pinjaman.

Kehadiran Faiz menyarung jersi skuad ‘Hijau Kuning’ itu turut menyaksikan pertemuan semulanya untuk sekali lagi berada di bawah kendalian Nafuzi Zain.

“KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Muhammad Faiz Bin Mohd Nasir, pemain yang pernah dirisik barisan kejurulatihan Kedah suatu masa dahulu.

“Antara pemain bertubuh kecil namun lincah mangatur gerakan dan turut menjaringkan gol penting dan berkelas dunia ketika Final Piala Malaysia 2018 menentang Perak.

“Rezekinya kali ini bersama Sang Kenari, beliau berazam untuk bangkit menyamai prestasi kemuncaknya bersama Terengganu suatu masa dahulu.

“Cukup masa untuk bercakap, masa untuk bekerja,” ujar KDA FC di media sosial.

Meskipun berasal dari Kelantan, Faiz mencipta nama sewaktu bersama Terengganu pada musim 2017 dan 2018.

Dia kemudiannya berhijrah ke Selangor pada musim berikutnya.

Jodohnya dengan Selangor hanya bertahan semusim dan dia memilih untuk kembali semula ke Terengganu dan berikutan kurang minit permainan, Faiz telah dipinjamkan ke Kelantan United pada musim lalu. – MalaysiaGazette