Para penjawat awam melafazkan ikrar ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto MUHD NA’IM, 01 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan kaedah skim persaraan baharu penjawat awam kekal adil serta memenuhi keperluan golongan itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, skim persaraan baharu itu dilaksana berikutan model persaraan sedia ada jika diteruskan akan membabitkan peningkatan kos mencecah RM120 bilion menjelang 2040 berbanding komitmen semasa sebanyak RM30 bilion.

“Bagi 2023, komitmen pencen penjawat awam adalah RM32.6 bilion iaitu memerlukan tambahan RM2.1 bilion berbanding unjuran asal Belanjawan 2023 sebanyak RM30.5 bilion.

“Untuk itu, kerajaan perlu menyemak dan meneliti kaedah terbaik. Kerajaan masih dalam proses memuktamadkan cadangan pembaharuan pencen, yang mana pembaharuan pencen hanya akan dilaksana kepada penjawat awam baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menyentuh isu pengukuhan ringgit, Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak akan mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjual aset sebagai sebahagian usaha untuk mengawal kejatuhan ringgit.

“Kita galakkan jika ada lebihan boleh dipulangkan. Ini akan mengukuhkan ringgit pada masa sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette