Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao.

KLANG – Polis masih mengesan suspek utama kes seorang penyelia pengawal keselamatan yang ditembak dari jarak dekat hingga menyebabkan kecederaan di bahagian badan di Jalan Mokhtar, Kapar, di sini, 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, walaupun pihaknya mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun ia tidak banyak membantu.

“Setakat ini belum ada kaitan (rakan mangsa) dengan kes ini dan pihak polis masih lagi memburu suspek utama dan kes ini masih dalam siasatan.

“CCTV yang kita dapat daripada tempat kejadian itu tidak berapa membantu sangat.

“Footage suspek tak jelas, dengan nombor plat yang ada kereta suspek pun adalah palsu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara serta Majlis Berbuka Puasa IPD Klang Utara, Dewan Kelab Kilat TNB, Kapar.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penyelia pengawal keselamatan parah ditembak dalam kejadian di Jalan Mokhtar, Kapar, di sini, 6 Mac lalu.

Balai Polis Kapar dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada Klinik Kesihatan Kapar di sini pada jam 4.54 petang.

Tambahan pula, Vijaya Rao berkata, pihaknya tiada maklumat lanjut mengenai suspek utama yang masih bebas ketika ini.

“Kita sebenarnya belum ada lagi info yang menjurus kepada kes itu, tetapi kami sedang membuat siasatan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai mangsa, beliau berkata individu tersebut yang sebelum ini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini telah dibenarkan keluar, minggu lepas.

“Mangsa yang telah ditahan di wad selama seminggu telah keluar daripada wad.

“Mangsa masih lagi dalam rawatan, tapi berehat dekat rumah sebab lima das tembakan,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengesahkan lima suspek yang ditahan pada hari kejadian telahpun dibebaskan sehari kemudiannya dan mereka tiada kaitan dengan kes tembakan itu.

“Lima suspek yang kita tangkap pada mulanya ada bersama dengan mangsa.

“Pada masa kejadian itu, mereka bersama mangsa, mereka sebenarnya adalah kawan-kawan.

“Jadi untuk tujuan siasatan, kami tahan, kami dapati mereka tak terlibat, kami bebaskan mereka.

“Kami berpuas hati dengan kenyataan yang telah diberikan,” katanya.

Katanya lagi, polis tidak menolak kemungkinan kes tembak itu bermotifkan kepada pertelagahan kepentingan kawalan keselamatan mereka.

“Sebenarnya tiada kaitan kongsi gelap, ini lebih kepada merebut kawasan untuk tujuan kawalan keselamatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast