Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR – Pelantikan Presiden Parti Demokratik Progressif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya adalah satu kesilapan besar kerana beliau gagal memahami kepelbagaian adat resam, budaya dan agama dalam negara yang perlu saling dihormati.

Sebagai menteri yang memegang portfolio budaya, King Sing sepatutnya faham isu kalimah Allah pada stoking yang tercetus baru-baru ini telah menyentuh sensitiviti agama Islam, kata veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

“Dia adalah menteri tidak bijak yang tidak layak jadi menteri. Menteri pelancongan sepatutnya faham tentang adat resam budaya setiap kaum di negara ini yang menjadi tarikan pelancong luar.

“Dia tidak boleh cakap begitu (tidak boleh cakap isu kalimah Allah isu perkauman).

“Masjid, tokong, itu rumah ibadat yang dalam masa yang sama objek wisata yang boleh menarik pelancong ke negara ini. Ini adalah kesilapan terbesar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana lantik King Sing jadi menteri pelancongan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu, King Sing menuduh Ketua Pemuda UMNO Dr. Muhammad Akmal Saleh menggunakan platform sayap parti itu untuk mengejar agenda peribadi dengan menunggang isu kalimah Allah.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya kepimpinan parti tersebut supaya tidak membiarkan Akmal bertindak sedemikian.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu turut mendesak Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya bertindak tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang dianggapnya keterlaluan dalam isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di KK Marti.

Malah katanya, jika tidak maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif dan menolak UMNO.

Mengulas lanjut Mustapha berkata, isu kalimah Allah tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau kepartian, sebaliknya katanya ia jelas dicetuskan dengan sengaja oleh pihak tertentu yang anti Islam.

“Menteri Pelancongan ini kenapa takut sangat? Hadaplah. Sudah tentu Pemuda UMNO ada pendiriannya sendiri, tidak perlu kata perkauman dan semuanya.

“Veteran UMNO berpendirian isu yang sengaja dilakukan oleh mereka yang anti-Islam yang Islamophobia, sengaja mahu timbulkan kemarahan orang Islam.

“Kalimah Allah bagi orang Islam jangan main-main. Ini bukan isu UMNO ditolak, kenapa dikaitkan tidak ada kaitan dengan ini semua?,” soalnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya polis menggunakan perundangan berkaitan isu agama, bangsa dan raja (3R) untuk menyiasat pembuat, pembekal dan penjual atau pengedar stoking yang tertera kalimah Allah sekaligus mengambil tindakan tegas supaya memberikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia tentang sensitiviti yang tidak patut disentuh.

“Siasatan menyeluruh mesti dibuat, kalau tidak orang akan anggap orang Islam tidak kisah bila isu sebegini dicetuskan dan dengan hanya minta maaf lepas timbulkan, cetuskan kemarahan, semua akan selesa,” tambahnya.

Sebagai rekod, KK Mart baru-baru ini didapati menjual stoking bercetak kalimah Allah dalam tulisan Arab dan Rumi sehingga mencetuskan kegelisahan dan kemarahan penganut Islam.

Justeru, Muhammad Akmal telah menggerakkan kempen memboikot KK Mart dan menggesa setiap cawangannya mengantungkan banner permohonan maaf.– MalaysiaGazette

Kalimah Allah: King Sing gesa UMNO, Ab Rauf kawal Akmal