GEORGE TOWN – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dinasihatkan agar tidak mengulas serta campur tangan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan (MPP), Fahmi Zainol berkata, ia susulan perkara itu tiada kaitan dengan Ahli Parlimen Teluk Intan terbabit.
Sebaliknya, Fahmi meminta Kor Ming untuk terus memberi fokus dalam hal membabitkan kementerian yang dipikulnya dan biarkan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut dalam isu penjualan stoking kalimah Allah itu.
“Kenapa terburu-buru perlu ulas hal ini? Perkara Ini bukan berkisar soal sentimen perkauman dan agama, tetapi ia lebih daripada itu kerana kesuciaan nama Allah menjadi kewajipan kepada orang islam untuk menjaga serta mentarbatkannya.
“Jika Kor Ming faham tentang menghormati kesucian agama masing-masing, sepatutnya beliau tidak perlu masuk campur dalam hal ini kerana ia akan memburukkan lagi keadaan dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak berkata, tidak semua perkara memerlukan Kor Ming bersuara.
“Tak semua perkara perlu bersuara tambahan pula isu ini tiada kaitan langsung dengan beliau.
“Saya juga berpandangan, beliau diam lebih baik berbanding berkata-kata dalam isu ini,” katanya.
Media semalam melaporkan meskipun KK Mart di Sunway, Selangor sudah menarik balik kesemua stoking yang tertera kalimah Allah, namun Kementerian Dalam Negeri menegaskan siasatan terhadap kedai serbaneka itu akan tetap diteruskan.
Timbalan Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memberitahu, setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 36 laporan berhubung stoking itu, yang tular di media sosial baru-baru ini. – MalaysiaGazette