Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA – Pindaan terhadap peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak akan dibuat secepat mungkin, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Jelasnya, pindaan itu turut bergantung kepada sesi libat urus yang dibuat oleh pihaknya dengan pelbagai pihak termasuk parti-parti politik.

“Secepat mungkin (pindaan hak kewarganegaraan) saya kena selesaikan libat urus saya bila selesai saya akan daftarkan untuk pembentangan (di Dewan Rakyat), bila selesai saya akan uruskan langkah berikutnya,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Ditanya adakah pindaan tersebut akan dapat dibuat pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu bergantung kepada tempoh libat urus oleh kementeriannya.

“Sangat bergantung kepada berapa cepat libat urus saya, jadual masih ada. Esok saya dengan Amanah kemudian parti lain, kadang-kadang tarikh bertukar jadi saya boleh sebut satu tarikh tapi boleh berubah kerana tidak berlangsungnya sesi libat urus,” jawabnya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution bersedia untuk berjumpa dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang tidak selesa dengan cadangan pindaan tersebut.

“Ya saya sedia untuk adakan sesi libat urus dengan mereka, dengan SUHAKAM, Prof Syad Faruqi. Mereka kawan-kawan saya dan sekarang mereka ada persidangan di banyak tempat dan KDN kami terbuka malan saya sangat terbuka untuk didatangi oleh mereka atau mereka mendatangi saya, tidak ada masalah.

“Saya mohon mereka juga mendengar daripada saya, barulah perbincangan,” katanya lagi.

Saifuddin Nasution sebelum ini berkata, mesyuarat Kabinet telah memberikan persetujuan terhadap draf pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan.

Katanya, Kabinet turut berharap semua pindaan yang dicadangkan dapat diluluskan tahun ini.

Pada minggu lalu, SUHAKAM mahu KDN membuat satu kajian lebih komprehensif supaya isu tanpa kewarganegaraan dapat ditangani secara holistik.

Timbalan Pengerusi Suhakam, K. Ragunath berkata, cadangan pindaan itu seharusnya dirangka daripada perspektif dua hala dengan memelihara kedaulatan negara Malaysia dan mengambil kira natijah untuk mengurangkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Dalam sidang media sama, Saifuddin Nasution menjelaskan, kira-kira 80 peratus daripada 3,903 permohonan warganegara sudah diluluskan oleh pihaknya sehingga 7 Mac lalu.

“Bagi kes anak yang lahir di luar negara ibunya warganegara ini apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda mereka akan mendapat kewargnegaraan secara kuatkuasa Undang- Undang 14 (1) b,” katanya lagi.

Permohonan yang diluluskan itu adalah permohonan lengkap dan akan menerima notifikasi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) .

Selepas menerima surat baharulah boleh melakukan proses selanjutnya dengan hadir ke JPN membuat sejumlah bayaran dan kemudiannya akan dikeluarkan sijil dan dokumen kewarganegaraan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast