Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 (AUKU) yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam, akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara pada April ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan, melalui RUU itu, agenda pemerkasaan mahasiswa dapat dijayakan seterusnya melakar sejarah apabila AUKU sekali lagi dipinda untuk mengangkat martabat mahasiswa dan pelajar universiti awam.

“KPT ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perbahasan, memberi idea dan pandangan.

“Terima kasih juga kepada seluruh Ahli Dewan yang sebulat suara menyokong pindaan RUU ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pindaan AUKU menyaksikan ruang lebih besar kepada pelajar terbabit dalam kegiatan kampus sejajar usaha memperkasa dan meningkatkan mutu mahasiswa.

Pindaan berkenaan mendapat undian sebulat suara Ahli Parlimen membabitkan Seksyen 15A dan 16B AUKU serta Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.

Seksyen 15A menyatakan kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain.

AUKU telah dipinda sebanyak tujuh kali sejak ia diperkenalkan pada tahun 1971 iaitu 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009 dan 2012.- MalaysiaGazette