Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR – Kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sedang diteliti dan akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya Akta Keselamatan Dalam Talian diwujudkan dan Kementerian Komunikasi di mana Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri diarah mengkaji keperluan akta berkenaan,

Beliau berkata, jawatankuasa bagi mengkaji undang-undang baharu itu telah ditubuhkan dan sesi perbincangan juga sedang dilaksanakan.

“Ada kemungkinan RUU ini boleh dibawa pada Parlimen, diluluskan pada sidang (Parlimen) akan datang, ini sedang diusahakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan berhasrat menggubal akta mengenai keselamatan dalam talian selain menjadikan aduan atau laporan orang awam di media sosial sebagai laporan maklumat pertama (FIR) untuk tindakan lanjut.

Menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada kementerian memutuskan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nie Ching berkata, ia sedang diperhalusi.

MCMC dalam proses melengkapkan kerangka pelesenan tersebut, katanya,

Beliau berkata, cadangan penguatkuasaan pelesenan itu disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet (Internet messaging services) yang boleh diakses oleh pengguna mengikut kriteria penilaian yang akan ditetapkan.

Menurut beliau, langkah itu wajar memandangkan ketersediaan kandungan mudarat yang tinggi di platform media sosial dan pemesejan Internet. – MalaysiaGazette