Suasana Jabal Rahmah yang menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia ketika berwukuf di Arafah. foto RADZUAN HASSAN, 10 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Tempoh menunggu menunaikan haji disasarkan dapat dipendekkan menjelang 2030 selaras dengan usaha Kerajaan Arab Saudi meningkatkan jumlah jemaah kepada lima juta orang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ketika ini jumlah jemaah dihadkan sebanyak dua juta orang oleh negara tersebut.

“Apa pun usaha untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji, ia tidak boleh lari daripada keputusan pihak Kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kerajaan telah membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah itu berdasarkan perangkaan penduduk terkini negara.

Menyentuh subsidi haji, beliau berkata, dasar klasifikasi pendapatan bagi jemaah haji terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 adalah berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data sedia ada.

Zulkifli juga memberitahu, sembilan bakal haji kategori B40, dan 50 bakal haji kategori M40 telah buat bayaran penuh

Katanya, kadar bantuan kewangan haji yang ditetapkan terhadap setiap jemaah haji adalah berdasarkan kategori pendapatan individu dan bukannya pendapatan isi rumah. – MalaysiaGazette