Mistam mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan terima deposit RM240,000 tanpa lesen sah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima deposit pelaburan tanpa lesen yang sah, berjumlah RM240,000 pada Jun 2023.

Tertuduh, Mistam Bahrun, 50, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Dia yang menjalankan pelaburan membabitkan minyak sawit itu didakwa menerima deposit RM240,000 menerusi tiga transaksi daripada seorang wanita berusia 25 tahun, untuk tujuan pelaburan tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB Taman Ria, Sungai Petani, Kedah antara 5 hingga 7 Jun 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dibaca bersama Seksyen 249 (1)(a) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM24,000 bagi kesemua pertuduhan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong memohon jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang dekati atau ganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Mistam merayu jaminan minimum atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung perbelanjaan isteri, lima anak yang masih bersekolah serta ibu uzur.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula 6 Mei depan. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast