Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Akaun semasa imbangan pembayaran dijangka mencatatkan lebihan yang lebih tinggi antara 1.8% hingga 2.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024.

Lebihan ini merupakan peningkatan berbanding dengan 1.2% daripada KDNK pada tahun 2023 yang merupakan imbangan akaun semasa paling rendah pernah dicatatkan sejak tahun 1997 (-5.9%).

Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 Bank Negara Malaysia berkata, peningkatan ini didorong terutamanya oleh lebihan barangan yang lebih tinggi dan defisit akaun perkhidmatan yang lebih rendah.

Akaun barangan diunjurkan untuk mencatatkan lebihan yang lebih tinggi berikutan pemulihan pertumbuhan eksport yang lebih daripada mengimbangi pemulihan pertumbuhan import.

Sementara itu, akaun perkhidmatan dijangka mencatatkan defisit yang lebih kecil disebabkan terutamanya oleh lebihan yang lebih tinggi dalam akaun perjalanan berikutan ketibaan pelancong yang terus pulih ke paras sebelum pandemik pada tahun 2024.

Walau bagaimanapun, akaun perkhidmatan secara keseluruhan dijangka kekal dalam defisit, mencerminkan kebergantungan yang berterusan
terhadap perkhidmatan asing, khususnya dalam segmen pengangkutan.

Peningkatan dalam akaun barangan dan perkhidmatan dijangka melebihi defisit yang berterusan dalam akaun pendapatan primer, didorong oleh pembayaran pendapatan terakru yang berterusan kepada pelabur asing di Malaysia berikutan pendapatan eksport yang semakin baik.

Menurut laporan tinjauan itu, akaun pendapatan sekunder juga dijangka kekal dalam defisit, disebabkan terutamanya oleh pengiriman wang keluar yang berterusan oleh pekerja asing. – MalaysiaGazette