Bekas Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety (MIROS), Datuk Ir. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim hadir bagi tuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2024.

SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM48,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety (MIROS) kerana memalsukan dokumen sebut harga bagi 16 kenderaan dalam ujian pelanggaran, enam tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim, 48, mengaku bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan pilihan yang dihadapinya.

Khairil Anwar didakwa memalsukan dokumen sebut harga bagi pembekalan 16 kenderaan termasuk Suzuki Carry 660cc dan Chery Transcab 1.1L dari empat buah syarikat berlainan dengan niat menipu.

Kesemua kenderaan dari Thailand itu bagi ujian pelanggaran di Makmal Ujian Pelanggaran MIROS di Bukit Katil, Melaka.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama, bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry bersetuju dengan pihak pembelaan untuk menawarkan pertuduhan pilihan selepas menyerahkan keputusan representasi kepada mahkamah.

“Hukuman kepada pertuduhan tersebut jika disabitkan bersalah, boleh dipenjarakan dalam sama tempoh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Hukuman adalah di bawah budi bicara Tuan Hakim mahkamah, pihak pendakwaan menyerahkan kuasa untuk menentukan hukuman sepenuhnya kepada budi bicara Hakim.

“Tertuduh tidak mempunyai rekod lampau di bawah Akta SPRM 2009, pengakuan bersalah ini dapat menjiimatkan masa dan kos pendakwaan serta mahkamah.

“Pihak pendakwaan memohon satu hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh pada hari ini sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan ini pada masa akan datang dan juga sebagai pengajaran kepada masyarakat secara menyeluruh untuk tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Peguam Revin Kumar merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri dan empat anak yang masih bersekolah termasuk seorang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), di samping menghidapi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Selain itu, anak guamnya berkelulusan Ijazah Doktor dari Universiti UCSI dan merupakan seorang Profesor Adjung di Malaysia-Japan International Institute of Techonolgy, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.

Sebelum ini tertuduh bertugas sebagai Ketua Pengarah MIROS dan pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung Program Penilaian Kenderaan Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

“Dalam tempoh perkhidmatan, tertuduh merupakan pengasas pertama program ASEAN NCAP dan satu-satunya pusat penilaian di Asia Tenggara.

“Sumbangan tertuduh bukan sahaja kepada negara kita, malah negara-negara di Asia Tenggara,” katanya.

Sebelum mahkamah mempertimbangkan rayuan tertuduh, Hakim Awang Kerisnada menegur Khairil Anwar bahawa taraf pendidikan dan jawatan yang dimiliki tidak sepatutnya menyebabkan dirinya terlibat dengan jenayah tersebut.

“Tertuduh ada PhD dan gelaran Profesor Adjung, sepatutnya taraf pendidikan dan jawatan seiring dengan sifat seseorang itu, lebih berwibawa, amanah dan berintegriti, bukannya terbabit dengan perkara macam ini.

“Apa guna ada pendidikan tinggi, namun tidak menggambarkan dirinya dengan ada Profesor Adjung yang sangat dihormati,” katanya Hakim.

Hakim kemudiannya menetapkan hukuman denda RM12,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar denda bagi setiap empat pertuduhan pilihan. – MalaysiaGazette