Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak ketika hadir Majlis berbuka Puasa bersama pengamal media di Dewan Bankuet, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Mana-mana pemimpin politik boleh memberikan pandangan dalam isu kalimah Allah pada stoking namun diingatkan agar tidak terlanjur menghukum dan mengikut pemikiran sempit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan akan diambil sekiranya ada kesalahan.

“Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tidak boleh ikut sistem wala’ (kerana) dalam parti yang wala’ yang kekang pemikiran bebas, ia tidak izinkan … masalah ada, tindakan diambil dan maju terus,” ujarnya pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai isu itu.

Menurut Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, konsep wala’ yang diamalkan dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan.

Beliau menekankan apa jua bentuk hukuman yang diberikan hendaklah dalam bentuk yang tidak melampau.

“Ada orang lakukan kesalahan seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian. Jadi, jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya.

Apa pun, Perdana Menteri mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang ekroan kes penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini.

Beliau menegaskan semua pihak agar tidak sesekali melakukan penghinaan terhadap agama Islam.

“Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?

“Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama … apa lagi Islam, jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara,” katanya.

Sekiranya tindakan segera telah dilaksanakan, semua pihak perlu berlapang dada, jelasnya.

Baru-baru ini, video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Petaling Jaya sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pihak terlibat telah membuat permohonan maaf dan setakat ini, 80 laporan polis telah dibuat di seluruh negara. Polis juga sudah merakam keterangan lapan individu termasuk pemilik dan pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd berhubung isu itu.- MalaysiaGazette