NIBONG TEBAL – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar tidak berlebih-lebihan dalam mengulas isu berhubung stoking tertera kalimah Allah.
Jelas beliau, ia susulan untuk mengelak supaya timbul sebarang permasalahan apatah lagi yang mungkin bertujuan oleh sesetengah pihak mengaitkannya dengan 3R iaitu agama, kaum dan Raja-Raja Melayu.
“Selain itu, kita juga menyokong penuh dititah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung isu sama.
“Dalam keadaan ini saya fikir jangan ada lagi pihak yang bangkitkan perkara-perkara sensitif begini.
“Banyak pihak yang merasakan bahawa permohonan maaf (daripada KK Mart) telah dibuat dan kita menganggap mereka tidak mengetahui serta ada tujuan (niat lain) pun,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di pekarangan Masjid Jamek Al Amin Simpang Tiga di sini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dan Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
Tambah Ahmad Zahid, hasil pemeriksaan dan siasatan pihak berkaitan juga mendapati bukan kilang itu yang hasilkan stoking tertera kalimah Allah sebaliknya ia diimport dari China.
“Kita tahu ini (isu stoking tertera kalimah Allah) suatu pengajaran yang agak mahal dan kita yakin mampu selesaikan masalah ini dengan sebaiknya mengikut titah Agong.
“Oleh itu, jangan berlebihan dalam perkara ini,” katanya.
Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) pada Sabtu lalu dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan berkenaan. – MalaysiaGazette