Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bercakap pada media selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju MITRA di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 20 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengendalikan siasatan berhubung isu penjualan stoking kalimah Allah yang di kedai serbaneka 24 jam KK Mart di negara ini yang mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Kenyataan itu dibuat oleh menterinya Aaron Ago Dagang yang pada awalnya tidak bersedia untuk mengulas mengenai perkara tersebut selepas diserbu pengamal media.

Selepas diajukan dengan soalan berkenaan bertalu-bertalu, Aron kemudian sekadar menjawab ringkas kepada media yang pihaknya mengharapkan keamanan dan bukannya perpecahan.

Please, no..no (jangan tanya isu Stoking)..maaf, we are perpaduan (Kami adalah kementerian perpaduan), kita tak mahu perpecahan,” katanya secara ringkas ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Hala Tuju Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di Kementerian Perpaduan Negara di sini pagi tadi.

Menjawab soalan, Aaron juga memberitahu tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh kementeriannya berhubung perkara itu.

Sebaliknya beliau menegaskan, KDN akan mengendalikan siasatan berlunaskan undang-undang yang diperuntukkan.

“Tidak..tidak..(tiada kenyataan isu stoking)..KDN adalah pihak terbaik untuk menjawab isu itu.

“Kita semua mahukan keamanan dalam kementerian bukan perpecahan..dan itulah perpaduan (Kementerian Perpaduan Negara),” jawab beliau secara ringkas lagi.

Isu stoking kalimah Allah tular dimedia sosial selepas dimuat naik oleh pengguna yang menjumpainya di salah sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway sebelum mengundang kemarahan dan kecaman umat Islam.

Setakat semalam, sebanyak 80 laporan polis telah dibuat di seluruh negara sebagai mendesak pihak polis menyiasat isu itu.

Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain turut mengesahkan semua saksi dan pihak pengurusan KK Mart akan dipangggil untuk diambil keterangan dalam perkara itu.

Katanya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-MalaysiaGazette