Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Pengisian Program Rakan Muda perlu dijadikan  agenda nasional, dengan mengambil pendekatan menyeluruh  untuk memastikan waktu lapang diisi dengan aktiviti yang bermanfaat.

Program tersebut boleh dijadikan sebagai platform kepada pengukuhan intergrasi nasiaonal dan perpaduan kaum

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diberi penekanan  susulan penurunan skor Indeks Belia Malaysia daripada 48.49 peratus pada 2021 kepada 42.43 peratus pada 2022.

“Penurunan skor berkenaan menunjukkan belia kurang terlibat dengan aktiviti semasa waktu lapang. Jika perkara ini tidak di atasi, belia dikhuatiri melakukan perkara tidak berfaedah dan menjadi punca kepada kebejatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan  selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Bil 1/2024 di Parlimen, hari ini.

Tambahnya, terdapat isu belia yang melingkari golongan belia yang dikenalpasti dan memerlukan intervensi serta pelan pemerkasaan yang holistik melibatkan sektor ekonomi dan sosial yang berpacukan data (dashboard belia).

Isu tersebut adalah peluang pekerjaan, penyalahgunaan dadah (AIDS/HIV), pornografi, buli siber, sendikit penipuan pekerjaan, kesihatan mental, kewangan, buhun diri dan perpaduan dan ekstremisme, kenegaraan dan demokrasi.

Oleh itu, katanya, mesyuarat berkenaan memutuskan Majlis Belia Malaysia (MBM) perlu mengambil langkah progresif, untuk menjayakan penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan) 2019 (Akta A1602) pada 1 Jan 2026,bagi  memastikan berlaku peralihan transisi kepimpinan pertubuhan belia.

Intervensi strategik yang dikenal pasti bagi menangani isu dan cabaran  melalui pembangunan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia itu akan disokong Dashboard Belia yang melibatkan semua kumpulan pelaksana pembangunan belia.

Pemerkasaan peranan pertubuhan belia pula secara langsung memberi manfaat kepada belia massa melalui Visi MBM 2048.

Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia dijangka dilancarkan semasa sambutan Hari Belia Negara (HBN) peringkat kebangsaan tahun ini pada 15 Mei ini .

Bagi menyokong Ekonomi Gig, Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan juga telah memperluaskan skop melalui penambahan program TVET bagi lapan kursus termasuk kursus berorientasikan elemen sukan.

“Sasaran penyertaan 2,100 pelajar TVET Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan serta 3,300 orang pekerja Gig untuk menyokong Ekonomi Gig.

“Kementerian Belia dan Sukan telah mencapai penyertaan melebihi sasaran awal satu juta seramai 1,112,334 orang melalui 4,312 aktiviti untuk pelaksanaan program Rakan Muda 2023.

“Penyelarasan yang lebih baik antara semua kementerian diperlukan bagi memastikan semua data dan penyertaan program dapat disatukan untuk mencapai sasaran penyertaan sebanyak 11 juta untuk tahun 2024,” tambahnya lagi.

Mesyuarat ini juga bersetuju bahawa usaha untuk melahirkan golongan belia yang berupaya menyumbang kepada pembangunan kepada memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua kementerian berdasarkan fungsi dan kepakaran masing-masing. – MalaysiaGazette