PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengamal media memainkan peranan penting dalam memberi pandangan, ulasan serta pencerahan dalam negara demokrasi.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pengamal media dapat bersama-sama memainkan peranan untuk mengangkat martabat umat dan negara selain melonjakkan lagi pertumbuhan negara dengan lebih meyakinkan.
“(Perkara) ini memerlukan apa? Ilmu, kecekalan, disiplin, kecintaan terhadapnya (usaha angkat martabat negara).
“Ilmu itu sendiri keprihatinan santuni masyarakat, saya harap dengan semangat Ramadan sebagai madrasah Ramadan dapat kita tingkatkan iman, ilmu dan disiplin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Anwar berkata beliau terkesan kerana isu besar negara berkaitan soal mengejar pertumbuhan yang lebih rancak yang dimainkan media tidak menarik minat tokoh politik.
“Saya luahkan, saya agak terkesan kerana isu besar negara, soal mengejar pertumbuhan lebih rancak, mendepani masalah seperti mana cabaran digital, IT (teknologi maklumat) dan soal peralihan tenaga.
Terdahulu, seramai 200 pengamal media cetak, elektronik dan portal berita daripada lebih 70 agensi media tempatan termasuk Sabah dan Sarawak, kelab media tempatan dan antarabangsa serta veteran media diraikan dalam majlis berkenaan.
Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada 20 petugas media dan bekas petugas yang sedang mengalami keuzuran kesihatan serta kurang berkemampuan. – BERNAMA