SUBANG – Polis telah selesai merakam keterangan daripada penyampai berita sebuah stesen televisyen berbayar swasta terkemuka yang membuat dakwaan kononnya anggota polis bersikap sombong dan kasar ketika melakukan pemeriksaan terhadapnya dalam kejadian di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, individu itu selesai diambil percakapan semalam di ibu pejabat polis daerah Subang Jaya.
“Semalam, pihak kami (polis) sudah selesai merakam keterangan penulis artikel tersebut (polis sombong). Kita masih dalam tindakan merakam percakapan saksi-saksi lain dalam kes ini.
“Setakat hari ini, seramai lima orang individu telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut dalam kes ini, Wan Azlan berkata, polis tidak membuat sebarang tangkapan atau rampasan barang terhadap penyampai berita tersebut selepas direkod keterangannya.
Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan seorang penyampai berita sedang disiasat polis selepas menulis berita yang mendakwa kononnya anggota polis bersifat sombong dan kasar ketika membuat pemeriksaan di hadapan kediamannya di USJ 9, di sini dalam kejadian pada 13 Mac lalu.
Pengadu yang juga anggota polis dilaporkan terkesan dengan artikel bertajuk ‘Cops must prioritise courtesy’ keluaran sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan menceritakan pemeriksaan polis terhadap seorang lelaki tempatan berusia 30-an kira-kira pukul 1.30 pagi di kediamannya.
Setelah membaca berita tersebut, pengadu mendapati ia adalah artikel yang tidak benar dan menjatuhkan imej PDRM secara amnya serta Polis Subang Jaya secara khususnya sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Lelaki berkenaan menerusi artikel berita itu menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis yang kasar, sombong, tidak profesional semasa menjalankan tugas dan tidak dibenarkan bertanya serta tidak memohon maaf selepas pemeriksaan.
Jelas pengadu, dia telah menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki tersebut mengikut undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan dan laporan polis pemeriksaan dibuat selepas kejadian.
Tambah Wan Azlan, kes disiasat di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589).- MalaysiaGazette