KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4 peratus hingga 5 peratus pada tahun 2024, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luaran.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 2 peratus hingga 3.5 peratus dalam keadaan tekanan kos yang terkawal berikutan keadaan bekalan global yang semakin reda.
Walau bagaimanapun, prospek inflasi kekal tinggi tertakluk pada risiko inflasi yang meningkat disebabkan potensi pelarasan harga terhadap barangan makanan dan tenaga, serta tekanan luaran daripada kadar pertukaran dan perkembangan harga komoditi global.
“Monetari dan kewangan domestik kekal kondusif bagi pengantaraan kewangan. Bekalan kredit akan disokong oleh kesediaan institusi kewangan yang berterusan memberikan pinjaman berikutan sistem perbankan yang kukuh dan pasaran modal yang mantap.
“Di samping itu, keadaan ekonomi dan pasaran pekerja yang bertambah baik akan menyokong permintaan kredit,” katanya.
BNM berkata, paras ringgit semasa berada di bawah nilai saksama meskipun asas ekonomi Malaysia kukuh dan prospek pertumbuhannya positif.
Selain itu, usaha BNM terlibat aktif dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilihat membawa impak positif di mana aliran dan minat pasaran terhadap pembelian ringgit semakin meningkat.
“Pada masa hadapan, pasaran kewangan menjangka ringgit terus menambah nilai dalam tahun 2024 dan trend penambahan nilai ini akan berterusan berikutan kesan faktor global menjadi semakin reda, ” katanya. – MalaysiaGazette