Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia merekodkan keuntungan bersih  berjumlah RM7.16 bilion tahun lalu  berbanding RM6.99 bilion) dipacu kenaikan jumlah pendapatan sebanyak RM8.77 bilion (2022: RM8.52 bilion).

Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.31 bilion (2022: RM4.24 bilion) akan dipindahkan kepada Rizab Risiko yang berjumlah RM150.06 bilion pada 31 Disember 2023 (2022: RM116.61 bilion).

“Memandangkan rizab antarabangsa BNM adalah dalam mata wang asing, penting bagi BNM untuk memastikan kedudukan Rizab Risikonya memadai bagi menghadapi volatiliti pasaran kewangan dan turun naik dalam kadar pertukaran asing,” menurut Laporan Tahunan 2023.

Baki keuntungan bersih sebanyak RM2.85 bilion (2022: RM2.75 bilion) akan dibayar kepada kerajaan sebagai dividen, kata bank pusat itu.

Dalam pada itu, BNM berkata, jumlah asetnya juga meningkat sebanyak 1.97 peratus kepada RM631.26 bilion (2022: RM619.04 bilion) pada 31 Disember, 2023.

Katanya,  rizab antarabangsa terus menyumbang sebahagian besar daripada aset BNM sebanyak 83 peratus (2022: 81 peratus).

Liabiliti BNM adalah terutamanya daripada deposit oleh institusi kewangan dan mata wang dalam edaran yang masing-masing berjumlah RM176.66 bilion and RM161.82 bilion pada 31 Dis, 2023 (2022: RM221.89 bilion; RM162.07 bilion), tambahnya. – MalaysiaGazette