JOHOR BAHRU – Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup di kawasan kilang pembuatan logam dan makanan sejuk beku di daerah ini kerana didapati bekerja tanpa permit yang sah.
Tangkapan yang dilakukan dalam Ops Mahir yang dijalankan 2 petang semalam, menahan seorang wanita dan 10 lelaki Myanmar, berusia 24 hingga 39 tahun, kata Pengarahnya Baharuddin Tahir.
Seramai 118 orang warga asing dan tempatan telah diperiksa dan tindakan diambil pihaknya susulan maklumat awam berhubung PATI yang disyaki bekerja tanpa pas atau permit di kilang terbabit.
Mereka yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
Dalam pada itu, tiga notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada individu yang terbabit dalam operasi itu bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette