JOHOR BAHRU – Depot Imigresen Pekan Nenas telah menghantar 39 orang tahanan Bangladesh ke negara asal menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kesemua tahanan ini dihantar pulang setelah selesai menjalani hukuman pelbagai kesalahan termasuklah di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta kesalahan dibawah akta Agensi Penguatkuasaan yang lain.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam kenyataan malam tadi berkata, tahanan yang dihantar pulang telah disenarai hitam dalam sistem Jabatan.
Berikutan itu, mereka tidak dibenarkan memasuki Malaysia dalam tempoh lima tahun atau selama- lamanya mengikut kesalahan yang telah dilakukan.
Selain daripada tahanan warganegara Bangladesh, Depot Imigresen Pekan Nenas juga giat menghantar pulang warganegara seperti Indonesia, Singapura, China, Myanmar, Thailand, dan lain- lain negara sepanjang bulan Ramadan.
Kos penghantaran pulang kesemua tahanan melalui udara dibiayai sepenuhnya oleh tahanan.- MalaysiaGazette