Allahyarham zyan Rayyan

SUBANG JAYA: Alamat protokol internet (IP Address) yang dikesan di lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak dapat membantu mengenal pasti suspek kes berkenaan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

“Ia tidak membantu serta tidak konklusif ke arah satu individu. Semua sudut kita sudah jalankan namun ada perkara yang kita tidak boleh didedahkan.

“Kita sudah melihat semua sudut dan kita juga menggunakan semua aset yang kita ada termasuk meminta bantuan daripada polis antarabangsa (Interpol),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Dalam masa yang sama,  kata beliau, kesan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dihantar kepada Interpol juga tidak membantu mengesan suspek.

Sementara itu, Hussein menepis dakwaan mengatakan polis lambat bertindak berhubung kes berkenaan.

Sebaliknya beliau menegaskan, semua pihak boleh menilai sendiri berdasarkan liputan media yang dibuat secara meluas sepanjang siasatan dijalankan.

“Daripada hari pertama laporan diterima, semua pihak bertungkus-lumus, apa lagi usaha kita tidak buat. Pihak polis sudah buat yang terbaik, malah kita secara terbuka maklumkan perkembangan siasatan.

“Kita  juga ada uar-uarkan mana-mana pihak mempunyai maklumat untuk tampil membantu,”tambahnya.

Pada 6 Disember lalu Zayn Rayyan,6, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring mengiring di anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman di sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa akibat mempertahankan diri selain kes dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pelbagai pencarian bahan bukti dilakukan pihak polis di sekitar Apartment Idaman di sini termasuk mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu dan merakam keterangan kira-kira 225 saksi yang terdiri daripada ahli keluarga, guru dan penduduk flat berkenaan.

Malah, pihak berkuasa turut mendapatkan bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mendapatkan semakan pangkalan data berhubung beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.- MalaysiaGazette