Datuk Hussein Omar (kanan) menunjukkan hasil rampasan arak lari cukai yang dirampas dalam serbuan 15 Mac lalu.

SUBANG JAYA – Sebanyak 13,087 botol arak pelbagai jenama bernilai lebih RM15,000 dirampas dalam serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Petaling Jaya pada 15 Mac  lalu.

Dalam serbuan yang diadakan pada 4.10 petang itu, seorang lelaki warga tempatan dipercayai penjaga stor dan pemindah barang telah ditangkap oleh sepasukan pegawai polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Batalion 4 Polis Gerakan Am (PGA) Semenyih.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, serbuan dibuat berdasarkan maklumat yang mengesyaki rumah tersebut menjalankan aktiviti pengedaran arak dan mengelak daripada cukai.

Penyeludupan arak ini dipercayai menyasarkan pasaran tempatan.

“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 kerana memiliki arak lari cukai,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Kata beliau, pengedaran arak lari cukai itu dipercayai mula beroperasi sejak setahun  lalu. – MalaysiaGazette