NEW YORK – Harga minyak jatuh pada hari Rabu selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengekalkan kadar faedahnya.
Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Mei turun AS$1.43, atau 1.64% kepada As$85.95 setong.
Manakala niaga hadapan untuk minyak West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran April , yang tamat pada hari Rabu, susut AS$1.79, atau 2.14% kepada AS$81.68.
Kontrak WTI Mei yang lebih aktif turun AS$1.46 kepada AS$81.27 setong.
Brent telah ditutup pada paras tertinggi sejak 31 Oktober 2023 pada sesi sebelumnya kepada AS$87.38 setong, manakala WTI mencecah paras tertinggi sejak 27 Oktober 2023 kepada AS$83.47.
Pada hari Rabu, Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadar faedah dalam julat 5.25% hingga 5.50%, tetapi pembuat dasar itu menjangka untuk mengurangkannya sebanyak tiga perempat daripada mata peratusan menjelang akhir 2024.
Keputusan kadar Fed adalah dalam jangkaan dan kesan ke atas pasaran minyak adalah terhad, kata Andrew Lipow, Presiden Lipow Oil Associates.
Pentadbiran Maklumat Tenaga A.S. (EIA) berkata, stok minyak mentah jatuh secara mengejut minggu lalu apabila eksport meningkat dan penapisan terus meningkatkan aktiviti. – Agensi