Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Program Insentif Latihan Amali (ILHAM) Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang diumumkan menterinya, Steven Sim Chee Keong bakal mewujudkan ekosistem komprehensif dalam memupuk bakat muda tempatan untuk jangka panjang.

Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang menyambut inisiatif tersebut komited melakukan penambahbaikan kepada Skim Latihan Perindustrian (ITS) HRD Corp dengan meningkatkan bantuan kewangan yang dibenarkan daripada 20% kepada maksimum sehingga 50% daripada baki levi majikan pada Januari untuk tahun taksiran ITS tersebut.

Ia akan dilakukan menerusi penajaan pelajar kolej, universiti dan institusi latihan yang sedang menjalani latihan industri di organisasi mereka.

HRD Corp berkata, tajaan boleh dilakukan menerusi pembayaran elaun latihan bulanan oleh majikan kepada pelatih dan juga semua tuntutan kewangan menerusi keperluan para pelatih yang sedang menjalani latihan amali tersebut.

Selain itu, terma had siling untuk elaun latihan bulanan yang boleh dituntut untuk setiap pelatih di bawah skim ITS juga telah dimasuhkan, bermakna tiada lagi had jumlah bayaran elaun latihan amali untuk dituntut oleh majikan yang menggajikan calon pelatih latihan amali di organisasi mereka.

Ini akan ditentukan oleh pasaran semasa yang dipersetujui oleh majikan.

Antara pengumuman penambahbaikan lain termasuk membolehkan majikan untuk membuat tuntutan kos latihan lain yang disertai pelatih mereka termasuk kursus persijilan profesional.

Tambahnya, bagi melayakkan majikan menggunakan kemudahan peruntukan ITS, majikan hendaklah memastikan pelatih menjalani latihan industri tidak kurang dari dua bulan dan tidak melebihi 12 bulan latihan di premis majikan tersebut.

Ini bakal membolehkan majikan membayar upah latihan industri pelatih latihan amali sehingga setahun melalui peruntukan tuntutan levi mereka.

“Selain ITS, tiga lagi inisiatif lain yang turut berada di bawah satu ekosistem besar ILHAM KESUMA termasuklah Dasar Latihan Industri Berstruktur, Geran Padanan LiKES, serta program-program sokongan seperti MyNext yang dikendalikan oleh lain-lain agensi lain di bawah Kesuma. – MalaysiaGazette