Oleh: Mohamad Tarmize Abdul Manaf
KEGAGALAN untuk menjelaskan punca perolehan harta adalah berkait rapat dengan perubahan gaya hidup mewah. Walaupun dilimpahi kekayaan, mereka tidak mampu menjelaskan punca kepada kemewahan tersebut. Sebabnya sangat mudah. Mereka peroleh daripada sumber tidak sah.
Setiap hari, ada sahaja kes rasuah dilaporkan oleh media. Pelakunya adalah dari pelbagai jawatan, peringkat umur dan tidak mengira bangsa. Kebanyakan pesalah rasuah adalah ‘orang pandai’ dan mempunyai jawatan tertentu, yang telah menyalah guna kelebihan mereka.
Mereka hidup seperti biasa dan bijak menyembunyikan jenayah yang dilakukan. Mereka ada di sekeliling kita. Malah, mungkin orang yang kita kenali atau teman rapat kita selama ini.
Rasuah adalah perbuatan jahat yang tiada mangsa. Pemberi dan penerima rasuah, kedua-duanya adalah orang yang memperoleh keuntungan. Dengan kata lain, mereka bersama-sama bersekongkol melakukan jenayah keji itu.
Berbeza dengan jenayah lain yang jelas mempunyai ’mangsa’. Dalam kes jenayah seperti tipu, bunuh, rogol dan pecah amanah, mangsa yang akan membuat aduan kepada pihak berkuasa. Seterusnya, menjadi saksi di mahkamah.
Sifat jenayah rasuah yang unik menyukarkan ia dikesan. Dalam insiden rasuah klasik, hampir mustahil orang yang telah mendapat keuntungan, tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Jenayah rasuah hanya akan diketahui apabila ada pihak yang tidak setuju dan tidak berpuas hati dengan aktiviti rasuah yang berlaku. Mereka ini yang akan membuat aduan.
Walaupun sukar dikesan, tidak mustahil untuk mengenali mereka yang terlibat rasuah. Simptom, tanda-tanda dan ’red-flag’ tertentu boleh menjadi petunjuk kepada kegiatan mereka. Artikel ini akan memberi panduan untuk mengenali individu yang mungkin terlibat rasuah berdasarkan lima simptom berikut.
Simptom pertama adalah perubahan gaya hidup mewah secara mendadak. Tidak salah sekiranya perubahan itu disebabkan pendapatan atau harta yang sah. Tidak salah juga untuk seseorang itu menjadi kaya. Tetapi, menjadi kesalahan apabila kekayaan tersebut merupakan hasil aktiviti haram.
Contoh perubahan gaya hidup mewah adalah pembelian hartanah bernilai tinggi, mengubah suai rumah secara keterlaluan, membeli kenderaan mewah, koleksi jam tangan mahal dan bag tangan berharga ratusan ribu ringgit.
Simpton atau ‘red-flag’ lain yang perlu diberi perhatian adalah selalu dilihat berbelanja mewah, kerap bercuti ke luar negara dengan menaiki kelas perniagaan, dan suka meraikan kawan-kawan serta rakan sekerja secara berlebihan, contohnya, makan besar di hotel mewah.
Simptom kedua adalah kegagalan untuk menjelaskan punca perolehan harta. Tanda kedua ini berhubung kait dengan simptom pertama iaitu perubahan gaya hidup mewah.
Walaupun dilimpahi kekayaan, mereka tidak mampu menjelaskan punca kepada kemewahan tersebut. Sebabnya sangat mudah. Mereka peroleh daripada sumber tidak sah. Sekiranya, perkara itu diketahui orang, sudah pasti mereka akan disiasat dan dihukum.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009), semasa menjalankan sesuatu siasatan, SPRM boleh meminta mana-mana orang untuk mengisytiharkan harta dan punca pendapatan mereka. Menjadi kesalahan apabila seseorang itu dengan sengaja gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta atau membuat pengisytiharan yang tidak benar.
Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 menyatakan kegagalan untuk mematuhi notis SPRM (untuk mengisytiharkan harta) boleh dipenjara sehingga lima tahun, dan didenda sehingga RM100,000. Seksyen 36(3) akta yang sama pula memperuntukkan kesalahan bagi individu yang gagal memberikan penjelasan munasabah terhadap lebihan harta atau aset mereka. Sekiranya disabitkan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai lebihan harta atau aset.
Simpton ketiga adalah tidak mahu dinaikkan pangkat kerana ingin kekal di posisi atau tempat kerja lama. Tidak dapat dinafikan, antara alasan jujur untuk kekal di posisi lama adalah tidak mahu berjauhan dengan keluarga, tidak sanggup memikul tanggungjawab baharu atau lebih besar, dan sudah selesa dengan kerja semasa.
Namun, bagi jawatan berisiko tinggi, terutamanya yang terlibat dalam penguatkuasaan dan perolehan, terlalu lama di sesuatu tempat kerja boleh membuka ruang berlakunya rasuah.
Pegawai yang tidak berintegriti akan memanipulasi pengetahuan dan kemahirannya dalam sesuatu proses kerja untuk faedah sendiri. Keberadaan di jawatan dan tempat yang terlalu lama membolehkan pegawai berkenaan mengenal pasti pelanggan yang sanggup memberi rasuah untuk melakukan perkara tertentu.
Faedah ini menyebabkan mereka amat selesa bekerja di sesuatu tempat dan tidak kisah sekiranya tidak dinaikkan pangkat dan gaji. Sebabnya, ada ‘pendapatan’ lain yang lebih lumayan.
Simptom keempat adalah sering menerima panggilan telefon yang mencurigakan. Boleh dibezakan panggilan telefon peribadi dari ’orang tersayang’ dan panggilan dari pihak yang mempunyai ’urusan gelap’. Reaksi yang lebih risau, mimik muka mencurigakan dan tindakan keterlaluan untuk merahsiakan butir perbincangan menjadi petunjuk bahawa ada yang tidak kena.
Rasuah adalah ’urus niaga’ yang dilakukan secara rahsia. Oleh itu, semua perhubungan adalah secara sembunyi-sembunyi dan tidak boleh didengar oleh orang lain.
Simptom kelima adalah perhubungan terlalu rapat dengan pelanggan jabatan atau syarikat. Contoh hubungan pegawai-pelanggan yang boleh mendatangkan syak wasangka adalah bercuti bersama, selalu keluar makan dan kerap menerima hadiah.
Tiada masalah sekiranya rapat disebabkan ikatan kekeluargaan, kawan dan jiran. Bagaimanapun, perhubungan rapat membabitkan urusan rasmi boleh mendatangkan tohmahan dan menjadi ’buah mulut’ orang.
Harus diingat bahawa pelanggan seperti kontraktor memang berusaha untuk berbaik-baik dengan pegawai tertentu, semata-mata untuk faedah mereka. Setiap pemberian bukan percuma, tetapi ada sesuatu yang diharapkan.
Amaran khusus untuk penjawat awam. Tindakan menerima hadiah dan barang berharga daripada pihak yang mempunyai urusan rasmi, boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Sebagai kesimpulan, mengetahui simptom rasuah amat penting kepada penyelia dan ketua sesebuah organisasi. Simptom atau tanda-tanda lain yang perlu diberi perhatian adalah aduan salah laku yang berulang terhadap orang yang sama.
Apabila wujud tanda-tanda ini, tindakan pemerhatian serta siasatan lanjut perlu dibuat. Tanda-tanda ini memberi isyarat bahawa pegawai mereka mungkin terlibat rasuah, penipuan atau penyelewengan.
Seterusnya, tindakan pembetulan dan punitif mesti dilakukan. Sekiranya, nasihat tidak memberi kesan, laporan segera perlu dibuat kepada pihak berkuasa. Tindakan tegas penyelia mungkin tidak popular. Namun, akan membendung rasuah daripada menjadi barah dalam organisasi.
Penulis adalah Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)